India dakwa serangan terhadap Pakistan adalah ‘hak untuk bertindak balas’

NEW DELHI – Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, hari ini mendakwa serangan terbaru terhadap Pakistan adalah operasi yang ‘dirancang dengan teliti’ dan menggunakan haknya untuk bertindak balas.

Tentera India juga berkata, serangan itu memusnahkan ‘sembilan kem pengganas’ milik mereka yang didakwa bertanggungjawab susulan serangan berdarah di Kashmir yang ditadbir India bulan lalu dengan 26 individu dilaporkan terkorban.

Pakistan berkata, 26 orang awam terbunuh dalam serangan rentas sempadan berkenaan.

Menurut pegawai di Islamabad, antara yang maut ialah empat kanak-kanak, termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

“Sasaran yang kami pilih sudah dimusnahkan dengan ketepatan dan kepekaan yang tinggi bagi memastikan tiada penduduk atau kawasan awam terjejas.

“Kami hanya menyasarkan kem pengganas, menggunakan hak kami untuk bertindak balas terhadap serangan ke atas tanah kami.” kata Singh kepada pemberita di New Delhi.

Sebagaimana jangkaan ramai, India bertindak balas terhadap serangan pada 22 April lalu ke atas pelancong di Kashmir.

Ia dikaitkan dengan kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan, Lashkar-e Taiba, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyenaraikan ia sebagai pertubuhan pengganas.

Singh berkata, operasi itu menyasarkan sepenuhnya kepada ‘infrastruktur keganasan’ terbabit dan menyifatkan ia sebagai tindak balas yang mencerminkan profesionalisme India.

“Kami boleh katakan bahawa ia menunjukkan ketepatan, kewaspadaan dan kemanusiaan,” katanya.

Islamabad sebelum ini menolak dakwaan mengaitkan pihaknya menyokong serangan di Kashmir pada 22 April lalu.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, sebelum ini menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan serangan untuk ‘melonjakkan’ populariti domestiknya, namun beliau berkata, Islamabad sudah melakukan serangan balas.

“Tindakan balas sudah bermula. Kami tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya,” katanya kepada AFP.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *