LIVERPOOL – Liverpool boleh menikmati baki empat perlawanan musim ini dengan tenang selepas mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih awal.
Arne Slot boleh menggilirkan pemain-pemainnya tanpa perlu risau dengan keputusan perlawanan kerana tidak ada pasukan mampu menggugat kedudukan mereka.
Sambil merehatkan tonggak-tonggak utamanya, Slot boleh menguji pemain-pemain seperti Federico Chiesa dan Harvey Elliott menjelang jendela perpindahan musim panas.
Dengan Slot dan Liverpool tidak begitu mementingkan keputusan perlawanan, peluang buat Chelsea, Arsenal, Brighton dan Crystal Palace merakam kemenangan ke atas juara baharu itu semakin cerah.
Namun jika Liverpool memenangi keempat-empat perlawanan terakhir itu, mereka berpeluang mencipta rekod baharu Liga Perdana Inggeris dengan rekod jurang terbesar antara pasukan teratas dan di tangga kedua.
Hakikatnya tiada persaingan untuk kejuaraan liga musim ini. Penyokong Arsenal mungkin mengganggap sebaliknya, tetapi Liverpool tampak selesa dalam perjalanan menuju kejuaraan.
Jurang ketika ini adalah 15 mata. Dengan Liverpool akan bertemu Gunners di Anfield, peluang untuk melebarkannya kepada 18 mata masih ada.
Kemudian The Reds hanya perlu menambah satu mata lagi di depan Arsenal untuk menyamai rekod jurang terbesar antara dua pasukan teratas dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ketika ini rekod berkenaan milik Manchester City, yang menamatkan musim 2017-18 dengan jurang 19 mata di depan pesaing terdekat, Manchester United.
Kejuaraan Liverpool pada 2019-20 sepatutnya sudah memecahkan rekod berkenaan, tetapi selepas mengesahkan gelaran liga dengan tujuh perlawanan berbaki, The Reds tewas dua kali dan seri dua lagi dalam perlawanan terakhir mereka untuk mengatasi City dengan 18 mata.
Jika Liverpool berjaya menewaskan Chelsea, Arsenal, Brighton dan Palace, jurang berkenaan akan kekal sekurang-kurangnya pada 18 mata. Rekod City hanya akan diatasi jika Arsenal tercicir mata lagi. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
