KOTA BHARU – Warga emas yang parah, termasuk pergelangan tangan hampir putus akibat diserang gajah di Kampung Laloh, Kuala Krai pagi kelmarin masih tidak sedarkan diri.
Zainab Mat Husin, 62, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai di sini.
Menantu mangsa yang mahu dikenali sebagai Nisha, berkata keadaan ibu mentuanya masih sama seperti mana semalam.
“Mak masih dalam keadaan sama seperti mana semalam iaitu belum sedarkan diri, namun jika kita bercakap dengannya dia seperti dengar dan cuba menggerakkan mata.
“Alhamdulillah keadaan mak setakat ini stabil dan paras oksigen pun dalam keadaan ok. Doktor tidak menidurkan ibu mentua kerana paras oksigen dan tekanan darahnya stabil.
“Cuma sekarang doktor memasukkan ubat tahan sakit yang menyebabkan ibu mentua tidak sedarkan diri. Hasil pembedahan menyambung pergelangan tangan pun positif,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, seorang warga emas wanita dan seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) cedera parah akibat diserang gajah liar dalam dua kejadian berasingan di kawasan penempatan Laloh, Kuala Krai.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata pihak PERHILITAN Daerah Kuala Krai terlebih dahulu menerima aduan berkaitan kejadian serangan gajah liar yang mencederakan seorang penduduk di kawasan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, Kuala Krai.
Beliau berkata, semasa siasatan dilakukan, gajah liar itu dikatakan bertindak agresif dengan menyerang kakitangan PERHILITAN menyebabkan mangsa yang berusia 40 tahun cedera pada lutut kaki kanan akibat di tusuk gading gajah liar berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001