07/03/2025:
DALAM dunia yang semakin moden dan terbuka, remaja berdepan dengan pelbagai cabaran sosial yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan mereka.
Kini, isu seperti pergaulan bebas, aktiviti seks berisiko, tekanan mental, cubaan membunuh diri dan penyalahgunaan dadah semakin menjadi buah mulut masyarakat kerana kesannya yang membimbangkan terhadap generasi muda.
Jika tidak ditangani dengan baik, masalah ini boleh menjejaskan masa depan mereka serta menyumbang kepada peningkatan gejala sosial.
Menyedari kepentingan menangani isu ini, Program Remaja Holistik yang dilaksanakan di SMA Negeri 2 Denpasar, Bali pada 26 Februari 2025 dengan objektif untuk memberi pendedahan, kesedaran, serta panduan praktikal kepada remaja agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan serta mengelak daripada terlibat dalam gejala sosial.
Program ini menampilkan beberapa modul utama bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta termasuklah modul Perkembangan Diri Remaja, Modul Kesihatan Mental dan Emosi, Modul Seksualiti Remaja serta Modul Motivasi dan Bimbingan Diri Remaja.

Modul-modul ini menekankan kepentingan remaja membuat keputusan yang betul bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.
Kesemua modul yang diketengahkan dalam program ini berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
Pendidikan dan kesedaran yang menyeluruh bukan sahaja dapat membimbing remaja membuat keputusan yang lebih baik, tetapi juga membantu mereka menjadi individu yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi kehidupan moden yang penuh cabaran.
Melalui program Remaja Holistik, remaja diberi kesedaran untuk memahami diri mereka dengan lebih baik dan seterusnya berkebolehan membuat keputusan yang tepat untuk diri mereka untuk membendung pengaruh negatif dalam kehidupan.
Kesedaran ini menjadi aspek utama yang dapat membantu membentuk masa depan yang lebih cerah.
Oleh itu, pendidikan dan bimbingan yang berterusan amat diperlukan bagi memastikan generasi muda mampu berkembang menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, bermotivasi, dan memiliki prinsip hidup yang kukuh. – ND
Penulis, Nurfazreen Mohd Khairi, Pengarah Program Remaja Holistik, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001