Forum SDGs: Kupas isu iklim, kesaksamaan jantina dalam sektor pendidikan serantau

07/03/2025:

BALI, INDONESIA – Forum Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melibatkan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia dan Institut Sains dan Teknologi Nadhlatul Ulama Bali (ISTNUBA), Indonesia telah berlangsung pada 25 Februari lalu.

Forum ini membincangkan isu Perubahan Iklim (SDG 13), Kesaksamaan Jantina (SDG 5), dan Kualiti Pendidikan (SDG 4), bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam usaha kesukarelawan antarabangsa.

Isu-isu ini semakin mendesak dengan banjir di Pantai Timur Malaysia khususnya di Terengganu yang menyebabkan kira-kira 2405 pelajar sekolah menengah dan rendah diberikan cuti susulan beberapa sekolah telah dijadikan pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir serta isu peningkatan paras air laut yang memaksa kerajaan Indonesia menukar Ibu Kota Negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur.  

Dalam era pascapandemik, pendidikan berkualiti (SDG 4) di Asia Tenggara masih berdepan cabaran, terutama bagi pelajar luar bandar yang kekurangan akses kepada teknologi dan internet.

Laporan UNICEF 2023 menunjukkan lebih 30% pelajar di Malaysia dan Indonesia mengalami ketertinggalan dalam pembelajaran akibat jurang digital.

Menurut Nur Adilah Muhammad, Pengarah Program Global Volunteer Mission to Bali, Indonesia, perubahan iklim bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi turut menjejaskan sistem pendidikan melalui bencana alam seperti banjir yang mengganggu sesi pembelajaran.

Jerebu tahunan akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan mengancam kesihatan pelajar dan memaksa sekolah ditutup, manakala banjir kilat dan gempa bumi merosakkan infrastruktur sekolah. Justeru itu, kesedaran dan tindakan segera perlulah dilaksanakan bagi menangani isu ini demi generasi akan datang.

Dalam isu kesaksamaan jantina (SDG 5), Ahmad Nur Alfin, Presiden Mahasiswa ISTNUBA, menegaskan pendidikan wanita penting untuk pembangunan sosial dan ekonomi dengan memetik kata-kata Michelle Obama bahawa pendidikan wanita membawa kepada negara yang lebih makmur.

Pertanyaan ini juga disokong oleh saudari Amyna, panel forum yang menjadikan Malala Yousafzai, aktivis pendidikan wanita yang telah menggerakkan dan mengutamakan pendidikan bagi kaum wanita di Pakistan demi kemajuan dan kemakmuran negara tersebut.

Namun begitu, perubahan yang ingin dibawa ini juga mempunyai halangan dari segi ekonomi dan sosial, terutama di kawasan pedalaman.

Laporan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia 2023 menunjukkan kadar keciciran pelajar perempuan meningkat 12% akibat tekanan ekonomi pascapandemik.

Oleh itu, program seperti SDGs Talks berperanan meningkatkan kesedaran dan mencari penyelesaian kepada isu-isu pendidikan secara inklusif.

Mohamad Aiman Hakim, Presiden Kelab Prime Mover UiTM, turut membangkitkan isu ketidaksamaan akses pendidikan di kawasan pedalaman.

Beliau menekankan kepentingan penyelesaian inovatif oleh kerajaan serta kerjasama serantau bagi memastikan pendidikan berkualiti dan inklusif.

Kenyataan ini juga disokong oleh Mahasiswa ISTNUBA melalui kata-kata Nelson Mandela bahawa pendidikan yang bermutu tinggi merupakan senjata yang terbaik untuk membawa perubahan kepada dunia.

Dalam forum ini, Jaringan Kerjasama antara UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan ISTNUBA telah ditandatangani sebagai memo persefahaman antara kedua-dua belah pihak.

Kelab Prime Mover UiTM juga memperkenalkan objektif utama penubuhan kelab dan program-program yang bakal dilaksanakan sempena Global Volunteer Mission 3.0 Bali, Indonesia.

Secara keseluruhannya, forum yang dianjurkan oleh Kelab Prime Mover UiTM dengan kerjasama Badan Eksekutif Mahasiswa ISTNUBA telah membuka ruang perbincangan serta membolehkan pertukaran idea dan pandangan antara mahasiswa dua negara demi mencapai matlamat SDGs.

Moderator Emilia U Yi Ling menyimpulkan bahawa forum ini memperkasakan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Kelab Prime Mover UiTM mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan kejayaan forum ini yang dianjurkan pada setiap tahun bagi memastikan masa depan yang lebih lestari dan berdaya maju. – ND

Penulis, Muhammad Faiz Firdaus Mohd Fuzhi, Exco Tugas-Tugas Khas UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *