25/02/2025:
Oleh: Mohd. Shah Abdullah
HARI-HARI yang berlalu dalam arus kehidupan bangsa dan bernegara di tanah air kita yang tercinta selalu sahaja berlaku turun-naik dan pasang-surut yang harus diterima sebagai fitrah alami kehidupan.
Penyebaran maklumat menerusi media sosial (medsos) tanpa kawalan, melimpahi lautan maklumat sehingga sukar disaring dan ditapis.
Segala tuduhan, dakwaan, fitnah dan kepalsuan kini sukar sekali dibezakan dengan hakikat kebenaran atau kesahihan. Kecuali jika akal sihat kita sedia untuk menilai, menganalisis, berfikir panjang, semak dan imbang baharulah kita boleh menyerap maklumat tersebut dan mungkin menerimanya sebagai fakta kebenaran.
Fenomena aliran maklumat tanpa batas dan sempadan ini memang tidak boleh lagi disekat dengan mudah. Inilah dunia media digital, maklumat hanya di hujung jari-jemari kita yang lincah menekan butang pada skrin telefon bimbit atau komputer. Selebihnya adalah maklumat tanpa sempadan.
Benar kata Marshall Mc Luhan, kita berada dalam “Global Village” ditandai dengan membadainya maklumat lewat teknologi media yang kian canggih.
Semua keadaan ini menimbulkan keresahan kepada minda dan nurani bangsa kita.
Sebagai umat beragama, kita terkesan dengan yang hak (kebenaran) dan batil (kepalsuan). Politik beragam dan menimbulkan kecamuk menambah lagi duka sengsara bangsa.
Lihat sahaja pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk Kerajaan Madani dan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi Pas dan Bersatu.
Yang kita dengar dan saksikan selalunya yang buruk-buruk sahaja. Seolah-olahnya tiada langsung hatta sekelumit kebaikan!
Misalnya, apa sahaja yang dilakukan Kerajaan Madani terutama kenyataan dan tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atau PMX dicerca, diperlekeh, dihina oleh pemimpin-pemimpin parti lawan dan malahan netizen yang bebas “membahan” di medsos.
Sehinggakan lawatan PMX ke luar negara pun dianggap tidak berguna, tidak bermanfaat dan tidak berhasil. Lalu, apakah PMX hanya perlu bekerja santai-santai sahaja, tiada inisiatif untuk menjalin muafakat antarabangsa, hubungan bilateral, multilateral, diplomasi global yang kini sangat diperlukan ketika suasana geopolitik antarabangsa terus sahaja bergolak, tanpa ketentuan dan sukar ditafsirkan di lapisan pertama.
Lihat sahaja tindak-tanduk Presiden Donald Trump, segala kenyataannya kini menghantar isyarat yang bukan memihak kepada diplomasi dan negosiasi tetapi lebih kepada “unilateral action’ (tindakan sehala), bersama kami, menyokong kami atau kami ambil tindakan.
Begitulah lebih kurang percaturan Rumah Putih sama ada kepada negara-negara yang dikira hebat dan besar seperti China dan Russia apa lagi negara-negara kecil dan berkembang seperti Malaysia.
Justeru, Malaysia sebagai negara kecil dalam blok ASEAN dan kebetulan tahun ini dipilih mempengerusikan ASEAN harus bergerak cergas, proaktif dan menjadikan negara-negara dalam blok ASEAN ini suara yang didengari, diambilkira, dan penting dalam hubungan Utara-Selatan.
Hal ini tentu sahaja boleh berlaku jika kedudukan dalaman Malaysia sendiri tenang, tidak bergolak, kepimpinan yang kuat, pentadbiran yang kukuh, dasar-dasar ekonomi, kewangan, siasah, pendidikan, agama dan sosial yang mantap serta jelas hala tujunya.
Atas premis itulah PMX lincah ke hulu, ke hilir menjayakan segala agenda Kerajaan Madani meskipun banyak lagi perkara dalaman yang perlu diselesaikan.
Pada analisis akhirnya, semua pertimbangan kerajaan haruslah tidak membawa negara ini ke arah oligarki, negara muflis, negara gagal, kadar inflasi yang mencanak, kediktatoran mutlak, kadar pengangguran terus meningkat, meluasnya jurang kaya dan miskin, peluang pendidikan yang terbatas sehingga rakyat kekal bodoh serta dungu, tiada kemudahan perumahan yang selesa, sistem pengangkutan awam yang mundur, paling mustahak keterjaminan makanan memastikan bekalan makanan asasi seperti beras, minyak, telur, tepung, bawang, dan sebagainya kekal di pasaran dengan kawalan harga yang munasabah.
Maka, sehari dua ini berlaku pertemuan mesra antara PMX dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud di Putrajaya.
Beliau yang mewakili Pas, sebuah pasti siasah Melayu-Islam yang dominan. Pas pula telah melebihi 30 tahun mentadbir Kelantan terus sahaja berseberangan dengan Kerajaan Persekutuan, kecuali ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selama tempoh 33 bulan.
Pas menyertai Kerajaan PN ketika itu dan kini masih bersama PN, masih galak untuk menumbangkan Kerajaan Madani!
Adakah ini pilihan tepat dan sesuai? Melihat kepada suasana pertemuan antara PMX dan Menteri Besar Kelantan itu, segala-gala kemungkinan dalam politik boleh sahaja berlaku.
Namun, satu perkara yang pasti Mohd Nassuruddin dan sebahagian besar pemimpin Pas adalah mewakili gerakan Islam dan PMX sendiri bertunas dari gerakan Islam.
Tentu sahaja banyak persamaan berbanding perbezaan fikrah dan manhaj dalam perjuangan Pas. Intipatinya sama, iaitu mahu memartabatkan syiar dan syariat Islam dalam kerangka demokrasi yang wujud di Malaysia.
Lagi pula, jauh selepas 60 tahun perjuangan Pas yang asalnya lahir daripada sulbi Umno, suara-suara Negara Islam dan Hudud sudah tidak lagi lantang kedengaran.
Tentu sahaja ini bukan bermakna ia dipinggirkan tetapi seperti dibahaskan Professor Dr Ali Jum’ah Muhammad dalam karya beliau “Pengalaman Mesir Dalam Pembangunan Negara Moden” menjelaskan bahawa perlu diingat bahawa hukum hudud ini harus dijalankan sesuai sistem am syariat seperti sabda Nabi:
“Cegahlah penerapan hudud dari umat Islam semampu mungkin. Jika ada jalan keluar bebaskanlah, kerana lebih baik seorang pemimpin salah dalam memaafkan daripada salah dalam memberikan hukuman (H.R. Al-Tirmidzi).
Buku nipis ini sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu (2023) terbitan Akademi Pemikiran Turath Al-Mustanir, dan ia wajar diteliti dengan mendalam untuk melihat bagaimana merealisasikan Islam, syariat Islam dalam kehidupan moden yang beragama ini.
Jelas seperti kata Professor Ali Jum’ah bahawa dalam kes Mesir pendirian dari sudut teori dan amali berkembang dan meraikan realiti. Tidak pernah ada sedikit pun tujuan melepaskan diri dan keluar daripada syariat Islam.
Demikian juga Malaysia, yang ditandai dengan kepelbagian agama, kepercayaan, bangsa, budaya, bahasa juga tidak jauh berbeza dengan uruf (latar belakang dan persekitaran) Mesir yang juga beragam.
Malahan, institusi al-Azhar al-Syariff itu sendiri diiktiraf keulungan dan keunggulannya telah melahirkan puluhan ribu ulama, ilmuan dan cendekiawan termasuk dari Malaysia.
Tidaklah ulama dan ilmuan al-Azhar al-Syariff itu begitu tohor dan dangkal kefahaman, fikrah dan kehendak mereka untuk kembali kepada kemahuan syariat Islam.
Namun, mereka tetap meraikan realiti, memahami benar tuntutan maqasid syariah serta perlunya sebuah keamanan untuk membina kemakmuran negara.
Hal demikian, sudah sewajarnya pemimpin-pemimpin Pas dengan segala iltizam politik, kebijaksanaan dan kematangan berpolitik sejak sekian lama memikirkan untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan@Madani.
Masa yang berbaki kira-kira tiga tahun menjelang pilihanraya umum ke-16 wajar diteliti dengan penuh kebijaksanaan, memilih pandangan “ummatic centric’, Islam Rahmatan lil Alamin, dan meraikan kepelbagaian untuk bersama-sama menyambung legasi perjuangan menegakkan syariat Islam dalam kerangka wassatiyyah (kesederhanaan).
PMX sendiri mewakili aliran kesederhanaan yang terbukti sudah diterima masyarakat jamak budaya, agama dan kaum di Malaysia. Mulakan sesi mencari titik temu itu sekarang kerana “biduk lalu, kiambang pasti bertaut.’

Mohd Shah Abdullah merupakan bekas wartawan dan pensyarah di bidang Media dan Komunikasi. Beliau kini bertugas sebagai Setiausaha Media dan Komunikasi kepada Senator Dr Mujahid Yusof Rawa