Bakal pengantin jatuh sungai selepas beli ikan di Pasar Bisik ditemukan lemas

Bakal pengantin jatuh sungai selepas beli ikan di Pasar Bisik ditemukan lemas

SUNGAI PETANI – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas membeli ikan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dalam kejadian jam 12.25 tengah hari Ahad lalu, ditemukan di kawasan pantai dalam dekat sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Wohd Zin berkata, mangsa, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia terjatuh.

Menurutnya, operasi pencarian telah bermula pada jam 9.20 pagi sebelum mayat mangsa dijumpai orang awam pada jam 11.50 pagi.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dan diserahkan kepada polis jam 1.12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Hamizi berkata, usaha pencarian pada hari ketiga itu dilakukan di pesisiran pantai dengan bantuan unit bot penyelamat melibatkan lima anggota dan empat unit bot nelayan.

Menurutnya, satu bot penyelamat bersama enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga keluar membuat pencarian ‘surface water resque’ dengan jarak 1.5 hingga 2 batu nautika.

Semalam, dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Ahad, mangsa difahamkan kali terakhir dilihat berada di pesisir pantai Pasar Bisik untuk menunggu bot nelayan yang baharu tiba membawa muatan ikan sebelum dilaporkan terjatuh dan hilang dari pandangan orang ramai dipercayai dibawa arus deras.

Sebelum kejadian, Muhammad Aiman sempat menelefon ibunya pada jam 11.30 pagi dan memaklumkan berada di lokasi kejadian untuk membeli ikan.

Lebih memilukan, anak sulung daripada tiga beradik itu kini sedang membuat persiapan akhir majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung tiga bulan lagi. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *