BACHOK: Hospital Bachok membabitkan kos RM71.3 juta yang sebelum ini dilaporkan terbengkalai akhirnya siap pada Julai lalu dan akan mula beroperasi November ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Hospital Bachok itu bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk sekitar daerah itu selain penduduk Kelantan, lapor Berita Harian.
“Saya dimaklumkan bahawa Hospital Bachok amat dinantikan oleh penduduk tempatan, di samping Klinik Kesihatan dan Klinik Desa sedia ada yang terhad kepada saringan dan rawatan awal saja.
“Seperti semua sedia maklum, kebanyakan kes berisiko sebelum ini dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejauh 15 kilometer dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang berjarak 20 kilometer.
“Secara tidak langsung, kos perjalanan ke hospital dapat dijimatkan, disamping memberikan impak sosio ekonomi kepada rakyat di jajahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok , di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.
Hospital Bachok yang mempunyai blok bangunan tiga tingkat itu turut meliputi 76 katil, dua bilik pembedahan, klinik pakar, tiga wad da, wad bersalin dan forensik sertal makmal dan ruang dialisis yang bakal memberi perkhidmatan kepada 160,000 penduduk di jajahan itu.
Hospital yang dibina atas tanah seluas 20.3 hektar sejak 2017 terbengkalai selama tiga tahun diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Ogos lalu.
Apabila beroperasi bulan depan, penduduk dari daerah sekitar Bachok dijangka dapat menikmati kemudahan kesihatan berkenaan selain mampu mengurangkan jumlah pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
