Raphinha cemerlang bantu Barca atasi Young Boys

Raphinha cemerlang bantu Barca atasi Young Boys

BARCELONA – Penyerang Barcelona, Raphinha berkata dia gembira dengan karakter dan persembahan pasukannya dalam kemenangan 5-0 ke atas Young Boys selepas tewas di Monaco dan Osasuna sebelum ini.

Barca membuka kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan kekalahan 2-1 di Monaco dua minggu lalu dan, selepas permulaan hebat dalam saingan La Liga dengan tujuh kemenangan berturut-turut, anak buah Hansi Flick tewas 4-2 di Osasuna.

Raphinha, yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan dengan satu gol dan satu umpanan untuk salah satu daripada dua jaringan Robert Lewandowski, berkata keputusan itu menambah keyakinan pasukannya.

“Kami sedar dengan format baharu Liga Juara-Juara ini, selepas tewas pada perlawanan pertama di Monaco kami perlu segera bangkit dan itu yang kami lakukan.

“Kekalahan La Liga di Osasuna hujung minggu lalu memberi tekanan tetapi pasukan bangkit dan saya bangga dengan persembahan kami.

“Dalam saingan baharu Liga Juara-Juara ini, bukan hanya mata tetapi setiap gol dijaringkan sangat penting, lebih banyak lebih bagus,” kata Raphinha.

Selain jaringan Lewandowski dan Raphinha, Inigo Martinez turut menemui sasaran untuk Barca dan gol sendiri Young Boys memberi kelebihan buat anak buah Flick.

Flick turut senada dengan pemain Brazil itu tetapi mahu pasukannya tampil lebih baik pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Kami perlu memulakan permainan dengan lebih baik. Kami perlu tampil dinamik sebagai satu pasukan dari sepak mula, tetapi sekurang-kurangnya ia bertambah baik kali ini.

“Tidak siapa tahu bagaimana perjalanan Liga Juara-Juara kali ini, tetapi lebih besar perbezaan gol lebih baik.

“Saya gembira dengan Raphinha yang bermain sangat baik tetapi kita tidak boleh bercakap tentang seorang pemain sahaja, paling penting ialah bermain sebagai satu pasukan.

“Raphinha hanya boleh bermain sebaik ini jika rakan sepasukannya juga bermain dengan baik,” kata Flick.

Barcelona akan bertandang ke laman Deportivo Alaves untuk saingan La Liga pada Ahad dan bertemu Sevilla selepas rehat perlawanan antarabangsa sebelum melayan kunjungan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara pada 23 Oktober.

Tiga hari kemudian, mereka akan menentang Real Madrid dalam aksi Clasico La Liga. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *