PETALING JAYA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman pada 14 September lalu.
Tertuduh, Lim Wah Siong, 50, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, pada jam 9 malam 14 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat, lapor FMT.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 16 September lalu, media melaporkan seorang pereka dalaman berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di pangsapuri itu dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan, termasuk tangan dan kepala.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada jam 3 pagi, 21 September lalu kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252