Tak nak cari musuh, Khai Bahar rela serah watak kepada pelakon lain

Tak nak cari musuh, Khai Bahar rela serah watak kepada pelakon lain

KHAI BAHAR rela melepaskan tawaran lakonan kepada aktor lain jika watak yang mahu digalas menjadi dambaan individu terbabit.

Khai yang bakal muncul dengan drama Cinta Bukan Milik Kita terbitan Zeel Production mendedahkan tidak tahu watak Redza yang dibawa, menjadi rebutan pelakon lain.

“Saya tidak tahu ada pelakon lain mahukan watak itu. Kalau tahu, saya tidak akan ambil.

“Ketika terima tawaran daripada syarikat produksi, mereka tidak beritahu ada orang lain mahukan watak itu.

“Saya berpegang kepada rezeki. Kalau sudah tertulis rezeki saya, ia milik saya. Tetapi, saya tidak mahulah cari musuh kerana hendak lama dalam industri seni,” katanya kepada Berita Harian pada sesi temuramah dan fotografi pelakon drama Cinta Bukan Milik Kita di Sri Pentas, semalam.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama arahan Emi Suffian itu, Khai memberitahu, dia kembali berlakon selepas hampir lima tahun tidak beraksi depan kamera.

“Selepas arwah emak meninggal dunia, saya hilang semangat. Saya banyak abaikan fokus pada kerja. Saya hanya tumpu pada kerja yang sudah terikat dengan kontrak.

“Bukan tidak terima kenyataan, sebaliknya, saya perlukan masa untuk pulihkan semangat. Namun, pertemuan saya dengan seorang hamba Allah membuka mata. Dia cakap emak tentu tidak mahu lihat saya bersedih.

“Arwah emak selalu berpesan supaya bantu adik-beradik. Kalau saya terus bersedih, nanti terjejas kerjaya. Jadi, sejak itu saya bangkit,” katanya.

Selain Khai Bahar, drama yang masih menjalani penggambaran di Perlis itu dibintangi Sharifah Rose dan Kartina Aziz. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *