ANKARA – Sekurang-kurangnya seorang warga Israel terbunuh, manakala 10 lagi cedera dalam serangan dron oleh kumpulan Houthi pada awal pagi Jumaat, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media Israel.
Perbadanan Penyiaran Awam Israel melaporkan, dron sarat dengan bom itu meletup di persimpangan Jalan Shalom Aleichem dan Jalan Ben Yehuda di Tel Aviv, hanya beberapa ratus meter dari Kedutaan Amerika.
“Serangan itu tidak mengaktifkan siren dan kejadian sedang disiasat,” kata seorang jurucakap tentera Israel.
Channel 13 Israel yang memetik laporan siasatan awal tentera menunjukkan dron itu dikesan, tetapi tidak dipintas kerana “kesilapan manusia,” tanpa memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman mengesahkan serangan dron di Tel Aviv.
Jurucakap tentera kumpulan itu, Yahya Saree berkata, pasukan udaranya melakukan operasi berkenaan dan mengenai sasaran penting di kawasan Tel Aviv.
Kumpulan Houthi mengisytiharkan kawasan Tel Aviv sebagai “kawasan tidak selamat” dan memberi amaran ia akan menjadi sasaran utama senjata mereka.
Houthi menyasarkan kapal milik Israel, berbendera, dikendalikan atau menuju ke Israel di Laut Merah dan Teluk Aden dengan peluru berpandu dan dron sebagai solidariti dengan Gaza yang telah diserang tentera rejim sejak 7 Oktober tahun lalu. – Agensi Anadolu
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252