Empat Anggota Penguatkuasa Diserang di Kampung Sri Makmur, Gombak

PETALING JAYA – Satu laporan polis dibuat selepas insiden empat anggota penguatkuasa diserang pemilik struktur yang terlibat dengan perobohan Kampung Sri Makmur, Mukim Batu, Gombak.

Dalam satu kenyataan media, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak memaklumkan insiden itu juga tular di media sosial baru-baru ini dan kes tersebut kini di bawah tindakan polis.

Menceritakan kejadian sebelum insiden serangan, PDT Gombak memaklumkan ketika operasi berlangsung anggota penguatkuasa terdiri daripada Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasaan dan teknikal yang lain bersama-sama mengawal keselamatan.

“Pada 27 Mei lalu, pihak Bailif dari Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melaksanakan tindakan pengusiran tersebut telah dihalang oleh penceroboh daripada memasuki tapak operasi, penceroboh telah dinasihatkan agar tidak menghalang pihak pelaksana untuk melaksanakan perintah pengusiran.

“Anggota penguatkuasa dan polis telah bertindak membuka halangan daripada penceroboh bagi memberi laluan kepada jentera pemotongan utiliti dan jentera perobohan untuk masuk ke tapak operasi dan keadaan dapat dikawal dengan baik.

“Anggota penguatkuasa yang bertugas sentiasa mengikut prosedur serta tatacara kerja yang berkuatkuasa dan dipantau oleh pegawai bertugas untuk memastikan keseluruhan struktur terlibat dengan operasi termasuk surau dikosongkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Menjelaskan mengenai tindakan pengusiran dan perobohan terhadap penempatan setinggan yang menceroboh tanah hakmilik PKNS di Kampung tersebut, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui pihak pemaju telah melaksanakannya  pada 27 hingga 28 Mei lalu berdasarkan perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei.

“Justeru, barangan seperti naskah al-Quran, ayat dan kalimah suci atau apa jua bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran telah dialihkan ke tempat yang selamat bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik struktur serta memelihara kesucian serta kehormatan kitab suci al-Quran.

“Pihak pemaju juga telah melantik pekerja yang memakai ‘safety vest’ bagi membantu pemilik struktur untuk memindahkan baki barangan yang masih ada di dalam struktur terlibat. Sepanjang operasi berlangsung, provokasi serta halangan dapat dikawal dengan baik kecuali satu insiden,” katanya.

Justeru, pada 28 Mei lalu, pihak Bailif dan pemaju telah melaporkan keseluruhan struktur yang menceroboh tapak operasi telah dirobohkan sepenuhnya dan pentadbiran ini telah menamatkan tugasan kawalan keselamatan.

PDT Gombak juga menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan palsu seperti yang telah tular dan disensasikan baru-baru ini oleh pihak tidak bertanggungjawab. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *