Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Hilmi Hamzah
DALAM video ‘We Are Malaysians’ yang dikongsikan baru-baru ini, terdapat satu fenomena bahasa yang dipanggil Bahasa Antara (BA) atau dalam bahasa Inggeris ‘Interlanguage’.
Istilah Bahasa Antara ini digunakan untuk merujuk kepada kewujudan sistem linguistik yang berasingan atau terpisah dari Bahasa Pertama (B1) atau bahasa ibunda, contohnya bahasa Melayu dan juga Bahasa Kedua (B2), contohnya bahasa Inggeris.
BA terbentuk secara semula jadi dalam kalangan penutur bahasa. Bentuknya terpisah daripada B1 dan B2. BA tidak tergolong dalam B1 dan tidak juga tergolong dalam B2. Ianya berada di antara kedua-dua bahasa tersebut (seperti dalam gambar ini).
BA merupakan satu sistem bahasa yang tersendiri. Contohnya, dalam video ‘We are Malaysians’, ada perkataan ‘gostan’ (dari ungkapan bahasa Inggeris (‘go astern’). Perkataan ini bukanlah perkataan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Ianya merupakan perkataan yang ‘sesat’ dalam BA.
Di Malaysia, kewujudan BA dapat dilihat melalui pertuturan bahasa Inggeris versi Malaysia, iaitu Malaysian English atau Manglish. Istilah seperti ‘action’, ‘terror’, ‘tackle’, ‘chop’, ‘budget’, ‘blur’, ‘sound’, ‘slumber’, ‘cable’, ‘spender’ telah di-Malaysia-kan dengan jayanya. (Tak sempat nak fikir).
Fenomena BA ini bersifat universal dan berlaku di seluruh dunia dalam kalangan penutur bilingual atau multilingual. Orang Jepun sangat senang menyebut McDonald’s sebagai Makudonarudo. Orang Kelantan kita pula suka sebut “Big Work” sebagai “Bekwoh” (kenduri kahwin).
Secara metaforanya, BA merupakan sebuah rumah separuh siap antara B1 dan B2. B1 bertindak sebagai bahasa sumber yang membekalkan bahan binaan yang akan digabungkan dengan bahan yang diambil daripada B2, menghasilkan satu binaan yang bukan B1 mahupun B2.
Ramai pengkaji bahasa melihat BA sebagai bentuk yang kekal untuk tujuan komunikasi dan untuk keselesaan penutur. Iaitu, rumah separuh siap itu akan terus kekal menjadi rumah ideal yang akan didiami dengan selesa oleh penutur BA tanpa rasa segan dan silu. Umpama kata, kita tuan rumah, suka hati kitalah, kan?
BA sering dianggap ‘bahasa rojak’, bahasa yang tiada standard, bahasa yang perlu dihapuskan secepat mungkin untuk memelihara ketulenan bahasa natif (iaitu B1 atau B2). Ungkapan “Sure Heboh” telah pun dilenyapkan dari muka bumi dan digantikan dengan “Jom Heboh”. Ingat lagi tak?
Namun begitu, ‘kesalahan’ dalam BA adalah satu bentuk kebitaraan (tiada taranya, hanya satu-satunya), satu sistem bahasa yang tersendiri. Ianya akan kekal secara alamiah dalam ekosistem pertuturan, berpandukan realiti sosiolinguistik.
Mari kita perkasakan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik, di samping meraikan kepelbagaian bahasa dalam masyarakat majmuk di negara kita, termasuklah menghormati Bahasa Antara yang penuh warna-warna itu. – ND

Penulis, Profesor Madya Dr. Mohd Hilmi Hamzah
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!