KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu bertitah menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang di-Pertuan Besar yang sedang dihadapi Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Raja-Raja Melayu bertitah bahawa usaha penyelesaian hendaklah diserahkan kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa,” menurut kenyataan yang disiarkan hari ini.
Kenyataan berkenaan turut mengingatkan bahawa kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja.
Dalam pada itu, Raja-Raja Melayu turut bertitah menyeru semua pihak yang terlibat dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.
Sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab dan beradat dalam semangat syura dan musyawarah.
Menurut kenyataan itu, penyelesaian berkenaan perlu berlandaskan undang-undang serta berpandukan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Raja-Raja Melayu turut bertitah mengingatkan bahawa takhta merupakan suatu amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
Sehubungan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta kemuliaan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian.
“Semua pihak hendaklah mengelak menyuarakan kenyataan yang boleh mengaibkan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai turut diseru supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, semua pihak hendaklah memberikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan bertarikh 14 Oktober 2026 itu dikeluarkan dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan ditandatangani Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
