PETALING JAYA – Ketiadaan saksi yang melihat kejadian serta kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan asrama menyukarkan usaha merungkai detik terakhir Zara Qairina Mahathir sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025.
Perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat, Wong Yew Zhung ketika membacakan kenyataan bertulis pada prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Wong berkata, hasil siasatan polis mendapati tiada individu, termasuk pengawal keselamatan dan warden asrama, yang meronda tingkat tiga blok asrama tempat Zara tinggal pada malam kejadian.
Beliau turut memaklumkan tiada CCTV dipasang di kawasan asrama yang dapat membekalkan rakaman bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi dalam kalangan pelajar, Zara kali terakhir dilihat oleh sekumpulan pelajar kira-kira jam 10 malam pada 15 Julai 2025, selepas dipanggil beberapa pelajar Tingkatan Empat berhubung dakwaan kes kecurian.
“Antara jam 10.15 hingga 10.30 malam pada hari sama, beberapa saksi pelajar dari dorm A-3-5 menyatakan mereka melihat Zara masuk ke dorm dalam keadaan menangis sebelum baring di atas lantai,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Wong berkata, kira-kira tengah malam 16 Julai, empat pelajar Tingkatan Satu yang berada di dorm A-3-5 memaklumkan mereka menolak permintaan Zara untuk meminjam gunting.
Dalam tempoh antara jam 12.10 hingga 12.30 tengah malam, tiga pelajar Tingkatan Satu pula mendakwa melihat Zara memanjat dinding penghadang tandas di tingkat tiga sambil memandang ke arah mereka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Siasatan turut menemukan keterangan seorang pelajar yang bangun awal untuk mandi kira-kira jam 2.35 pagi dan pergi ke tandas di tingkat tiga.
Pelajar itu mendapati pintu kubikel pertama dalam keadaan tertutup. Ketika cuba membukanya, seorang individu dari dalam menolak pintu berkenaan.
Menurut Wong, individu itu dilihat memakai baju sukan yang tertera perkataan ‘Hanafi’. Bagaimanapun, saksi tidak dapat melihat wajah individu terbabit.
Beliau berkata, pakaian itu menyerupai baju yang dipakai Zara ketika ditemukan tidak sedarkan diri.
Dalam pada itu, Wong memaklumkan seramai 200 individu telah dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan laporan mati mengejut membabitkan Zara.
Proses berkenaan dijalankan dengan bantuan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dan Sipitang.
Individu yang dirakam percakapan terdiri daripada ahli keluarga Zara, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah, guru, pegawai perubatan, anggota polis serta pelajar yang menghuni blok asrama Rabiatul Adawiyah.
Zara ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
Prosiding inkues yang bermula pada 3 September 2025 bertujuan menentukan punca dan keadaan yang membawa kepada kematian Zara, termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
