KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu yang masih menjejaskan kualiti udara menyebabkan semua institusi pendidikan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu kekal ditutup pada Isnin, 12 Oktober 2026, manakala sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Keputusan itu dibuat selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Stesen Cheras merekodkan paras 152 setakat jam 2 petang ini, iaitu tahap tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan murid serta warga sekolah.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, pemantauan kualiti udara akan diteruskan dari semasa ke semasa sebelum tindakan susulan ditentukan berdasarkan perkembangan bacaan IPU di kawasan terlibat.
Dalam perkembangan sama, sekolah di bawah PPD Sentul dan PPD Keramat akan kembali beroperasi secara bersemuka seperti biasa mulai esok selepas bacaan IPU di Stesen Batu Muda menurun kepada 84, iaitu pada tahap sederhana.
Penurunan bacaan di kawasan berkenaan selama tiga hari berturut-turut membolehkan pelaksanaan PdPR serta arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ditamatkan.
Bagaimanapun, keadaan berbeza di kawasan Bangsar Pudu apabila bacaan IPU yang masih berada pada tahap tidak sihat menyebabkan penutupan institusi pendidikan serta pelaksanaan PdPR diteruskan.
Langkah itu selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan ketika negara berdepan keadaan jerebu.
Dalam tempoh penutupan, pihak sekolah perlu memastikan kelangsungan pembelajaran murid melalui kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ibu bapa dan penjaga diminta sentiasa mengikuti pengumuman rasmi KPM, JPWPKL serta PPD masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status persekolahan dan tarikh pembukaan semula institusi pendidikan terlibat.
Pihak berkuasa pendidikan akan terus memantau keadaan kualiti udara dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa bagi memastikan kesihatan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
