CHERAS – Seramai 480 peserta mendaftar menyertai program 40 Days Virtual Challenge MBTHO 2026 yang menggabungkan aktiviti kesihatan, riadah dan pengisian kerohanian bagi memperkukuh hubungan komuniti serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Program anjuran Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO) itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pertandingan mewarna melibatkan 120 peserta, pertandingan memasak lapan kumpulan dari surau dan komuniti, kuiz berunsurkan dakwah serta jualan oleh usahawan asnaf.
Majlis pelancaran program disempurnakan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat merangkap Kadi Daerah Hulu Langat, Lukman Mohd Hosni.
Nazir MBTHO, Wan Jemizan W. Deraman berkata, penganjuran program itu mencerminkan komitmen pihak masjid untuk memperluas peranannya, bukan sahaja sebagai pusat ibadah dan pengimarahan, malah sebagai pusat pembangunan insan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Katanya, masjid perlu terus menjadi institusi yang dekat dengan kehidupan masyarakat dan selain berperanan sebagai pusat ibadah serta penyebaran ilmu, ia juga menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti sihat, aktif dan saling prihatin.
“Melalui program ini, kita hendak menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda dan keluarga untuk menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul, membina ukhuwah dan menyertai aktiviti yang memberi manfaat kepada kesejahteraan fizikal, mental dan rohani,” katanya.
Antara pengisian utama cabaran selama 40 hari ialah program Run and Ride secara virtual yang turut melibatkan peserta dari luar negara seperti Jordan.
Katanya, program itu juga memberi tumpuan kepada pemantauan tahap kolesterol, paras gula dalam darah dan berat badan peserta.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Pemeriksaan kesihatan turut disediakan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan penglibatan kira-kira 30 wakil termasuk doktor dan petugas kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, program itu diketuai Ketua Pemuda MBTHO yang juga Pengarah Program, Md. Fettri Hasbullah, dengan sokongan urus setia yang menjayakan pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.
Turut hadir memeriahkan program ialah penghulu Daerah Cheras serta wakil penaja utama, Ketua Pegawai Operasi UDA.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan seni mempertahankan diri Silat Gayung oleh Pusat Latihan Kajang Utama (PLKU) melibatkan 30 pesilat dan guru pelatih.

Program itu turut menyaksikan pembukaan Kelab Silat Gayung Masjid Bandar Tun Hussein Onn sebagai usaha memperluas penyertaan komuniti dalam aktiviti seni mempertahankan diri.
Dalam usaha menyediakan kemudahan riadah kepada penduduk setempat, empat gelanggang turut dibuka untuk kegunaan komuniti, merangkumi satu gelanggang pickleball, satu gelanggang badminton dan dua gelanggang sepak takraw.
Bagaimanapun, aktiviti larian santai (Fun Run) yang dirancang terpaksa dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu dan keputusan itu dibuat bagi mematuhi arahan pihak berkuasa supaya aktiviti luar dikurangkan ketika keadaan kualiti udara tidak sihat, sekali gus mengutamakan kesihatan dan keselamatan peserta.
Dalam perkembangan berkaitan, MBTHO merancang menganjurkan Karnival MBTHO Beriadah 4.0 pada 28 hingga 29 November ini dengan sasaran kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung.
Karnival itu dijangka menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kejiranan melalui pelbagai aktiviti sukan dan pertandingan antara surau kariah bagi merebut Piala Nazir.

Antara pengisian dirancang termasuk pertandingan keagamaan seperti azan dan khutbah, pertandingan memasak untuk golongan muslimat serta sukaneka kanak-kanak.
Selain aktiviti komuniti, karnival berkenaan turut dirancang menampilkan sesi perkongsian ilmu dan ceramah oleh para asatizah serta tokoh jemputan, termasuk Datuk Maulana Helmi.
Penganjuran program dan karnival itu diharap dapat terus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan komuniti, di samping menyemai budaya hidup sihat serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
