KUALA LUMPUR – Lebih 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperoleh pendapatan bulanan di bawah RM2,500 bakal menikmati kelegaan kewangan menerusi kemudahan penangguhan bayaran balik pinjaman yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Inisiatif itu memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah mengurus komitmen kewangan masing-masing, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, tanpa mengabaikan usaha kerajaan memastikan dana pembiayaan pendidikan tinggi negara terus mampan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata kerajaan memperkenalkan empat inisiatif utama berkaitan pembayaran balik pinjaman pendidikan, termasuk penangguhan bayaran, penetapan kadar minimum bulanan dan pemberian diskaun kepada peminjam yang menunjukkan rekod pembayaran baik.
Menurutnya, peminjam yang berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan pula akan dikenakan bayaran balik minimum sebanyak RM50 sebulan.
Dalam usaha menghargai peminjam yang menunaikan tanggungjawab secara konsisten, kerajaan turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada mereka yang aktif membuat pembayaran, tidak mempunyai tunggakan dan mengekalkan rekod bayaran secara teratur.
Norliza berkata, pelaksanaan langkah berkenaan dijadualkan bermula pada 2027 bagi menggalakkan budaya pembayaran balik yang berterusan, selain mengurangkan risiko pinjaman tertunggak dalam kalangan peminjam.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Selain bantuan secara langsung kepada peminjam, kerajaan turut memperkenalkan insentif berbentuk potongan cukai kepada majikan yang membantu melunaskan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja mereka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kemudahan itu melibatkan bayaran yang dibuat dalam tempoh Januari 2027 hingga Disember 2028, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak syarikat memainkan peranan dalam membantu pekerja mengurangkan beban hutang pendidikan.
Menurut Norliza, langkah berkenaan dijangka meningkatkan penglibatan majikan dalam menjaga kebajikan pekerja, terutama mereka yang masih menanggung komitmen kewangan selepas menamatkan pengajian.
Bagaimanapun, pelaksanaan penangguhan bayaran bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 serta penetapan bayaran minimum untuk kumpulan berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000 tertakluk pada pengesahan pendapatan menerusi semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
PTPTN akan mengumumkan maklumat terperinci mengenai syarat kelayakan dan tatacara pelaksanaan inisiatif berkenaan dalam masa terdekat.
Norliza berkata, PTPTN komited melaksanakan langkah yang digariskan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi terus inklusif, kebajikan peminjam terbela dan dana pembiayaan pendidikan negara dapat dikekalkan untuk manfaat generasi akan datang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
