Dari Meja Editorial ND
KADANG-KADANG kita jadi hairan. Rakyat yang tak ada kuasa, tak pegang jawatan dan tak duduk di kerusi pembuat dasar pula sibuk bertanya mengenai masalah dalam negara.
Yang ada kuasa, ada jabatan, ada pegawai dan ada segala macam kemudahan, macam belum temui jawapan yang boleh melegakan hati orang ramai dalam isu warga asing ini.
Ia bukan perkara baharu. Sudah bertahun-tahun diperkatakan, dipersoalkan. Sudah banyak kali operasi diumumkan dan tidak terkira lagi kenyataan media dikeluarkan.
Namun, di sesetengah tempat, penduduk masih mengeluh mengenai kehadiran warga asing yang semakin ketara, penempatan mereka pula dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan dan aktiviti perniagaan menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Jadi, apa sebenarnya sedang berlaku? Adakah penguatkuasaan kita benar-benar berkesan atau kita hanya cekap mengumumkan operasi selepas sesuatu masalah menjadi bualan ramai?
Jangan pula setiap kali isu ini dibangkitkan, jawapannya sekadar menyebut ribuan warga asing sudah ditahan atau dihantar pulang. Angka memang sedap didengar, tetapi rakyat mahu tahu apa yang berlaku selepas itu.
Kawasan yang bermasalah sudah pulih atau belum? Kegiatan yang melanggar peraturan sudah dihentikan atau masih berjalan? Kalau sudah selesai, buktikan. Kalau belum, jelaskan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Jangan sampai rakyat sendiri terpaksa menjadi pemerhati, penyiasat dan pengadu tidak rasmi, sedangkan tugas memantau serta menguatkuasakan undang-undang sudah tersedia dalam bidang kuasa agensi tertentu.
Cuba kita fikir sejenak. Jika benar ada penempatan warga asing yang dibina tanpa kelulusan, bagaimana ia boleh berkembang? Jika ada perniagaan yang beroperasi tanpa memenuhi syarat, siapa sepatutnya memeriksa?
Jika ada individu yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau bekerja tanpa dokumen sah, di manakah pemantauan selepas mereka memasuki negara?
Soalan ini bukan bertujuan menuduh sesiapa tanpa bukti. Sebaliknya, inilah perkara asas sepatutnya dijawab oleh pihak berkuasa. Tidak masuk akal jika sesuatu kegiatan boleh berlarutan sekian lama, tetapi tindakan hanya kelihatan apabila penduduk mula bersuara atau gambar dan video mula tersebar di media sosial.
Lalu timbul satu lagi persoalan lebih besar: dari pintu mana mereka masuk? Melalui laut, udara atau pintu masuk rasmi? Kalau masuk secara sah, bagaimana pula status mereka boleh menjadi masalah sekiranya berlaku pelanggaran syarat kemudian? Kalau masuk secara tidak sah, di manakah kelemahan kawalan yang memungkinkan perkara itu berlaku?
Tentulah tidak semua warga asing datang dengan cara yang salah. Ramai dari mereka berada di Malaysia secara sah dan melakukan pekerjaan yang diperlukan oleh ekonomi negara.
Ada juga pelarian dan pencari suaka yang mempunyai keadaan tersendiri. Sebab itulah kita tidak boleh menyapu semua orang dalam satu bakul. Yang sah jangan diganggu, tetapi yang melanggar undang-undang mesti diambil tindakan.
Namun, ketegasan itu perlu bermula daripada penguatkuasaan yang betul. Jangan hanya tangkap pekerja bawahan, sedangkan majikan menggaji mereka tanpa dokumen sah terlepas daripada pemeriksaan.
Jangan hanya mengalihkan orang dari satu lokasi ke lokasi lain, sedangkan pihak yang menyediakan tempat, mengurus kegiatan atau mengaut keuntungan daripada pelanggaran undang-undang tidak disentuh.
Kalau ada sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin, buru sindiketnya. Kalau ada majikan menyalahgunakan sistem pengambilan pekerja asing, siasat majikannya.
Kalau ada premis beroperasi tanpa lesen atau melanggar syarat, ambil tindakan mengikut undang-undang. Jangan sampai yang mudah ditangkap sahaja menjadi sasaran, sedangkan punca masalah terus bernafas lega.
Begitu juga dengan dakwaan warga asing semakin menguasai kawasan pasar atau menjalankan perniagaan yang sepatutnya tertakluk pada syarat tertentu. Perkara ini perlu diperiksa satu demi satu.
Siapa pemilik sebenar perniagaan? Lesen dikeluarkan kepada siapa? Adakah syarat dipatuhi? Jika berlaku pelanggaran, tunjukkan tindakan yang diambil. Kalau dakwaan tidak benar, jelaskan juga supaya tuduhan tidak terus berlegar.
Rakyat bukannya meminta semua warga asing dihalau keluar. Itu bukan hujah munasabah. Yang rakyat mahu ialah aturan jelas, undang-undang dikuatkuasakan dan keadaan tidak dibiarkan menjadi semakin kusut.
Negara ini ada peraturan, maka peraturan itu mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira siapa mereka.
Masalahnya, apabila penjelasan tidak diberikan dengan baik, ruang kosong itu mudah diisi oleh khabar angin, video tular dan pelbagai dakwaan yang belum tentu benar.
Akhirnya, kemarahan terhadap kelemahan penguatkuasaan boleh bertukar menjadi kemarahan terhadap semua warga asing. Ini berbahaya kerana orang yang mematuhi undang-undang turut terkena tempias akibat perbuatan segelintir pihak.
Sebab itulah kerajaan tidak boleh sekadar meminta orang ramai bertenang. Kalau mahu rakyat bertenang, berikan maklumat meyakinkan. Beritahu berapa ramai warga asing berada di negara ini mengikut kategori, berapa banyak kes pelanggaran dikesan, berapa ramai majikan dikenakan tindakan dan apa dilakukan untuk memastikan kesalahan sama tidak berulang.
Tidak perlu tunggu rakyat bertanya berkali-kali barulah angka dikeluarkan. Tidak perlu menunggu isu menjadi panas barulah operasi digerakkan. Penguatkuasaan yang baik sepatutnya berjalan sebelum masalah membesar, bukannya muncul selepas orang ramai mula hilang sabar.
Satu perkara lagi, jangan jadikan jumlah tangkapan sebagai satu-satunya ukuran kejayaan. Jika hari ini seratus orang ditahan, tetapi minggu depan masalah sama muncul semula di lokasi sama, apakah sebenarnya yang sudah diselesaikan? Operasi mungkin berjaya dari segi angka, tetapi punca masalah belum disentuh.
Kawalan sempadan, pemantauan selepas kemasukan, pemeriksaan premis dan tindakan terhadap majikan atau sindiket mesti bergerak seiring. Agensi berkaitan juga perlu berkongsi maklumat dan bertindak sebagai satu pasukan. Tidak guna setiap jabatan mempunyai bidang kuasa sendiri jika akhirnya masalah tetap terlepas di celah-celah tanggungjawab yang bertindih.
Pada masa sama, kerajaan perlu mengakui kehadiran warga asing yang ramai di sesetengah kawasan tidak semestinya bermakna semua mereka berada di situ secara haram. Kita perlu membezakan antara masalah sebenar dengan persepsi. Tetapi jangan pula alasan itu digunakan untuk mengetepikan aduan penduduk yang wajar diperiksa.
Rakyat membuat aduan bukan semestinya bersikap antiwarga asing. Mereka mungkin sekadar mahu mengetahui sama ada peraturan dipatuhi, sama ada kawasan kediaman mereka dipantau dan sama ada pihak berkuasa masih menjalankan tugas.
Soalan seperti ini tidak sepatutnya dianggap sebagai gangguan. Sebaliknya, itulah peluang untuk kerajaan membuktikan sistem penguatkuasaan benar-benar berfungsi.
Akhirnya, perkara ini kembali kepada soal kepercayaan. Rakyat mahu lihat tindakan, bukan sekadar mendengar janji. Mereka mahu tahu hasil operasi, bukan hanya membaca angka dalam kenyataan media.
Mereka mahu undang-undang ditegakkan, bukannya melihat masalah sama berulang setiap kali isu ini reda daripada perhatian umum.
Kalau semuanya terkawal, jelaskan dengan fakta. Kalau ada kelemahan, akui dan perbaiki. Kalau ada pihak yang melanggar undang-undang, ambil tindakan tanpa memilih bulu. Mudah sahaja.
Jangan sampai rakyat terpaksa terus bertanya soalan yang sama, sedangkan pihak sepatutnya menjawab mempunyai segala kemudahan untuk mencari jawapannya.
Sebab akhirnya, yang dipersoalkan bukan semata-mata berapa ramai warga asing berada di Malaysia. Yang lebih besar ialah sejauh mana negara mampu mengawal kemasukan mereka, memantau keberadaan mereka dan menguatkuasakan undang-undang secara konsisten.
Kalau perkara asas ini pun masih menjadi tanda tanya, memang wajarlah rakyat terus bertanya. Yang peliknya, rakyat pula yang terpaksa mengingatkan kerajaan tentang tanggungjawabnya sendiri. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
