
ADA pemergian yang membuat kita terdiam seketika. Bukan kerana kita terlalu mengenali insan yang pergi itu, tetapi kerana ada sesuatu tentang dirinya yang terasa dekat dengan kehidupan kita sendiri.
Begitulah perasaan saya apabila menerima berita pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Pada usia 100 tahun, Allahyarhamah pergi meninggalkan seorang suami, tujuh orang anak, keluarga besar dan sebuah negara yang mengenang jasanya.
Namun, bagi saya Tun Dr. Siti Hasmah bukan sekadar seorang tokoh negara, doktor wanita perintis atau isteri kepada seorang negarawan, beliau ialah gambaran seorang wanita yang menjalani kehidupan dengan kelembutan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak perlu dilaungkan untuk dirasakan.
Mungkin itulah keindahan seorang wanita. Tidak semua perjuangan perlu disuarakan dengan lantang. Ada perjuangan berlangsung dalam diam. Ada pengorbanan tidak tercatat dalam buku sejarah. Ada kasih sayang tidak pernah meminta penghargaan.
Tun Dr. Siti Hasmah melalui sebahagian besar hidupnya di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mereka berkahwin pada 5 Ogos 1956 dan membina kehidupan bersama selama tujuh dekad.
Dalam tempoh itu, beliau bukan sahaja menjadi isteri dan ibu, tetapi turut membina jalannya sendiri sebagai seorang doktor dan tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Namun, semakin saya memikirkan tentang pemergian beliau, semakin saya merasakan bahawa yang paling besar daripada semua pencapaian itu ialah peribadinya.Lemah lembut. Penyayang. Bersopan santun. Dekat dengan manusia.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kita mungkin lupa banyak perkara tentang seseorang setelah bertahun-tahun berlalu. Tetapi kita jarang lupa bagaimana seseorang membuat kita berasa ketika berada di hadapannya.
Mungkin kerana itu ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Tun Dr. Siti Hasmah dengan membawa kenangan tentang kelembutan dan akhlaknya.
Sebagai seorang wanita, saya melihat sosok Tun Dr. Siti Hasmah dengan rasa yang sedikit berbeza. Kita memahami bahawa menjadi wanita di sisi seorang lelaki yang besar namanya bukanlah perkara kecil. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu melalui perjalanan politik yang panjang, penuh cabaran, kritikan, jatuh dan bangun.
Di belakang sejarah seorang negarawan, selalunya ada sejarah sebuah keluarga yang tidak banyak diceritakan dan di situlah saya melihat keindahan Tun Dr. Siti Hasmah.
Beliau tidak perlu menjadi bayang-bayang kepada suaminya untuk dikenang. Beliau mempunyai cahaya sendiri. Tetapi cahaya itu tidak menyilaukan. Ia lembut. Seperti cahaya pagi yang masuk melalui jendela yang tidak bising, tetapi cukup untuk menerangi ruang.
Hari ini, tentu bukan mudah untuk Tun Dr. Mahathir menerima kehilangan ini. Seorang negarawan mungkin sudah biasa menghadapi kehilangan, tekanan, keputusan besar dan pelbagai ujian kehidupan. Tetapi kehilangan seorang isteri yang telah berjalan bersamanya selama 70 tahun adalah ujian yang sifatnya sangat berbeza.
Negarawan juga manusia. Di sebalik gelaran Tun, di sebalik sejarah kepimpinan dan ketegasan yang kita kenali, ada seorang suami yang kini perlu belajar menjalani hari-hari tanpa insan yang selama ini berada di sisinya.
Saya percaya Tun Dr. Mahathir seorang yang cekal. Namun cekal tidak bermakna tidak menangis. Kuat tidak bermakna tidak terasa kehilangan. Kadang-kadang kekuatan yang sebenar ialah menerima sesuatu yang tidak mampu kita ubah.
Pada akhirnya, kita semua akan sampai ke tempat yang sama. Kita datang daripada Allah dan kepada-Nya kita kembali.
Maka, sebesar mana pun kasih kita kepada seseorang, kita perlu belajar mengikhlaskan pemergiannya kepada Pemilik sebenar kehidupan.
Mungkin inilah antara ujian paling berat bagi seorang manusia, melepaskan seseorang yang amat dicintai, sedangkan hati masih mahu dia terus berada di sisi.
Saya membayangkan betapa sunyinya sebuah rumah selepas seorang ibu pergi. Kerusi yang biasa diduduki masih ada. Gambar-gambar masih tergantung. Suara yang biasa didengar mungkin masih terbayang-bayang.
Tetapi orangnya sudah tiada. Yang tinggal ialah kenangan dan doa, serta segala nilai yang pernah diajarkan sepanjang hayat.
Tun Dr. Siti Hasmah telah pergi, tetapi teladannya tidak pergi bersama jasadnya. Ia tinggal pada anak-anak, keluarga, wanita yang pernah melihat perjuangannya, bidang kesihatan yang pernah menerima baktinya dan masyarakat yang pernah merasakan kelembutan peribadinya.
Pemergian beliau juga mengingatkan kita bahawa legasi seorang wanita tidak semestinya diukur melalui jawatan yang pernah disandang atau jumlah anugerah yang diterima.
Kadang-kadang legasi itu jauh lebih sederhana. Menjadi ibu yang baik. Menjadi isteri yang setia. Menjadi doktor yang berkhidmat. Menjadi manusia yang lembut kepada manusia lain. Dan meninggalkan dunia dengan begitu banyak hati yang masih menyebut namanya dengan kasih.
Buat Tun Dr. Mahathir, anak-anak dan seluruh keluarga, saya titipkan salam takziah dengan penuh hormat dan kasih. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan untuk menerima kehilangan besar ini dengan hati yang reda.
Tun, mungkin selepas ini perjalanan itu terasa lebih sunyi. Namun segala tahun yang telah dilalui bersama tidak akan pernah hilang.
Tujuh dekad bukan sekadar angka. Ia adalah kehidupan. Ia adalah ribuan pagi dan malam, suka dan duka, tawa dan air mata, perjuangan dan pengorbanan.
Dan mungkin pada akhirnya, itulah hadiah terbesar seorang isteri kepada suaminya iaitu bukan sekadar menemani perjalanan, tetapi menjadikan perjalanan itu lebih bermakna.
Pergilah Tun Dr. Siti Hasmah dengan tenang. Negara telah memberikan penghormatan terakhir kepadamu.
Keluarga telah mengiringimu dengan doa. Dan kami yang masih di sini akan mengingati bukan sahaja seorang tokoh wanita negara, tetapi seorang insan yang mengajar kita bahawa kelembutan juga adalah satu bentuk kekuatan.
Al-Fatihah.
Dr. Siti Suriani Othman ialah Presiden dan Pengasas USIM Writers’ Pool, dan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
