KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan sebarang usaha menjalinkan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang perlu berasaskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung semalam.
Menurut beliau, kepimpinan UMNO negeri akan diberi ruang untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti-parti politik yang berminat untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.
“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.
Dalam pada itu, UMNO menegaskan pendirian parti berhubung prinsip kedaulatan undang-undang dengan menyatakan seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.
Ahmad Zahid berkata, sebarang tindakan bertujuan memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi bahawa individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan sudah bersalah, bertentangan dengan prinsip keadilan dan anggapan tidak bersalah.
Beliau turut menegaskan, UMNO tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, termasuk ahli dan pemimpin parti.
“Mana-mana pihak yang melakukan salah laku wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, MKT UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal oleh agensi penyelidikan dan ahli akademik yang menunjukkan wujud sentimen rakyat, khususnya dalam kalangan orang Melayu, yang mengharapkan usaha penyatuan ummah dapat direalisasikan.
Menurutnya, kepentingan keindukan Melayu juga dilihat sebagai antara asas kepada kestabilan politik negara.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO akan memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Langkah itu, menurut parti berkenaan, merupakan tanda penghormatan serta sebagai membalas jemputan yang diberikan kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS.
Perhimpunan Agung UMNO 2026 dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.
Tiga program utama pula akan diadakan sehari lebih awal, iaitu pada 8 September, membabitkan Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif serta dibuka kepada kehadiran orang awam.
Pada mesyuarat sama, MKT UMNO turut menyaksikan pelantikan dan upacara angkat sumpah Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
