KUALA LUMPUR – DC Healthcare Holdings Berhad mencatatkan pemulihan prestasi kewangan yang ketara bagi suku kedua tahun kewangan 2026, apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) kembali positif sebanyak RM670,000 berbanding kerugian sebelum cukai RM1.03 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disokong pertumbuhan hasil sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada RM22.62 juta daripada RM20.60 juta, didorong prestasi lebih kukuh segmen perkhidmatan estetik teras.
Segmen berkenaan mencatatkan hasil RM20.44 juta, meningkat 15 peratus berbanding RM17.80 juta pada S2 TK2025, sekali gus menyumbang kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan.
DC Healthcare berkata, peningkatan itu disokong jumlah pesakit yang lebih tinggi serta kadar penukaran rawatan yang lebih baik susulan penambahbaikan proses perundingan dan penglibatan pesakit.
“Keuntungan kasar turut meningkat kepada RM11.09 juta daripada RM10.45 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Prestasi operasi kumpulan menunjukkan peningkatan lebih ketara apabila EBITDA melonjak kepada RM2.91 juta daripada hanya RM120,000 pada suku kedua tahun kewangan 2025, peningkatan sebanyak kira-kira RM2.79 juta,” katanya dalam kenyataan.
Secara suku ke suku, EBITDA meningkat kira-kira 14 peratus daripada RM2.55 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026, manakala hasil meningkat enam peratus daripada RM21.36 juta kepada RM22.62 juta.
Keuntungan operasi turut meningkat kepada RM1.22 juta daripada RM850,000 pada suku sebelumnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Susulan prestasi itu, DC Healthcare mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM470,000, berbanding kerugian selepas cukai RM1.03 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025.
Kumpulan berkata, pemulihan keuntungan itu disokong hasil yang lebih tinggi, penyerapan kos lebih baik serta pengurusan perbelanjaan yang berdisiplin.
Kos kakitangan dan perbelanjaan pentadbiran turut mencatatkan penurunan tahun ke tahun sepanjang suku berkenaan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, EBITDA kumpulan meningkat lebih lapan kali ganda kepada RM5.46 juta berbanding RM630,000 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh itu meningkat 14 peratus kepada RM43.98 juta daripada RM38.50 juta, manakala keuntungan operasi berjumlah RM2.07 juta berbanding kerugian operasi RM1 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2025.
PBT turut kembali positif pada RM1 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM1.87 juta sebelumnya.
Dalam tempoh sama, segmen perkhidmatan estetik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan hasil meningkat 20 peratus kepada RM39.12 juta daripada RM32.66 juta.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, prestasi suku kedua tahun kewangan 2026 menunjukkan kemajuan bermakna dalam usaha pemulihan kumpulan, khususnya dari segi pengukuhan prestasi operasi asas.
“Peningkatan ketara dalam EBITDA mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam memperkukuhkan prestasi operasi asas kumpulan.
“Pertumbuhan hasil tahun ke tahun dan suku ke suku, disokong peningkatan jumlah pesakit serta penukaran rawatan, telah menghasilkan leveraj operasi yang lebih kukuh dan pemulihan keuntungan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan kini memberi tumpuan kepada kualiti dan kemampanan pertumbuhan menerusi pengukuhan proses perundingan dan penglibatan pesakit, selain meningkatkan penggunaan sumber di seluruh rangkaian klinik.
Katanya, DC Healthcare turut meneruskan pelaburan secara terpilih dalam inisiatif yang dapat meningkatkan hasil rawatan, pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi jangka panjang.
Bagi tempoh akan datang, kumpulan akan terus memperkukuh kedudukan dalam industri estetika dan kesejahteraan perubatan menerusi pengembangan perniagaan teras, rangkaian produk penjagaan kulit dan kesejahteraan serta pengembangan terpilih rangkaian kliniknya.
DC Healthcare juga sedang meneroka penggunaan pendigitalan dan teknologi bagi menyokong pemperibadian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan operasi.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penyepaduan secara berperingkat analisis kulit berasaskan kecerdasan buatan (AI), pendekatan perundingan berasaskan data serta pelaksanaan berterusan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP).
Menurut kumpulan, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan penyepaduan proses, keterlihatan operasi dan keupayaan membuat keputusan di seluruh organisasi.
Dengan suku kedua tahun kewangan 2026 menjadi suku kedua berturut-turut yang mencatat keuntungan serta separuh pertama tahun kewangan 2026 kembali merekodkan PBT positif, DC Healthcare memasuki separuh kedua tahun kewangan dengan momentum hasil yang semakin kukuh.
Kumpulan kekal memberi tumpuan kepada usaha menukarkan peningkatan penglibatan pesakit, pelaksanaan operasi yang berdisiplin dan inisiatif pertumbuhan terpilih kepada pertumbuhan pendapatan yang lebih berskala serta mampan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
