MyYateem Islamic Relief Malaysia Sasar Bantu 5,000 Anak Yatim Di Lebih 10 Negara

BANGI – Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, membesar dalam persekitaran yang selamat dan peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.

Namun, bagi anak-anak kehilangan ibu atau bapa, perjalanan untuk mencapai impian tersebut menjadi cabaran apabila mereka turut berdepan kemiskinan, konflik dan keterbatasan akses kepada keperluan asas.

Selari dengan visi mewujudkan dunia yang prihatin, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) hari ini melancarkan kempen MyYateem bagi membantu 5,000 anak yatim dan keluarga memerlukan di lebih 10 negara termasuk Palestin, Somalia, Sudan dan Jordan (pelarian Palestin), yang telah lama menanti bantuan demi kelangsungan hidup mereka.

Membawa slogan #CareForOrphan, kempen MyYateem memberi peluang kepada masyarakat Malaysia untuk bersama-sama menyokong anak-anak yatim ini melalui dua pakej sumbangan iaitu MyYateem Care dengan sumbangan serendah RM10 atau MyYateem Sponsorship dengan menaja seorang anak yatim sebanyak RM350 sebulan untuk tempoh minimum dua tahun.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood, sokongan terhadap anak yatim perlu dilihat sebagai satu usaha jangka panjang untuk memastikan mereka bukan sahaja dapat meneruskan kehidupan, tetapi turut mempunyai peluang mencapai potensi diri.

“Dalam membina sebuah ekosistem yang prihatin, Islamic Relief percaya setiap anak yatim berhak mendapat kehidupan yang baik.

“Mereka juga seperti kita, menyimpan impian yang besar. Dengan sokongan yang kita beri hari ini, kita bukan sahaja membantu mereka meneruskan kehidupan, malah kita sedang melabur untuk pemimpin masa depan.

“Mari bersama kami menjayakan kempen MyYateem demi masa depan yang lebih cerah buat mereka,” katanya.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Bermula 2025 hingga 2026, IR Malaysia telah membantu lapan keluarga di Somalia, Bangladesh dan Turkiye (pelarian Syria) menerusi projek Family Sponsorship dengan memberikan beberapa bantuan antaranya makanan, pendidikan, kesihatan, bayaran sewa rumah dan keperluan harian mengikut keadaan keluarga.

Selain projek tersebut, 18 anak yatim di Gaza, Palestin turut menerima sokongan khas daripada IR Malaysia termasuk bantuan kerusi roda, rawatan perubatan, kos pembedahan, makanan dan yuran pengajian.

Melalui MyYateem Sponsorship, setiap anak yatim yang ditaja menerima bantuan kewangan bulanan yang membantu mereka dan keluarga memenuhi keperluan pendidikan, termasuk membayar yuran persekolahan serta membeli buku dan bahan pembelajaran.

Dana tajaan ini turut digunakan bagi menampung keperluan asas seperti makanan, pakaian dan barangan harian, selain membantu mendapatkan rawatan kesihatan, memperbaiki keadaan tempat tinggal serta menyediakan makanan tambahan seperti vitamin dan suplemen mengikut keperluan.

Sepanjang 2025, seramai 125 anak yatim menerima tajaan melalui MyYateem Sponsorship di 19 negara, termasuk Palestin, Somalia, Sudan, Syria, Yaman, Jordan, Afghanistan, dan Indonesia manakala pada tahun 2026, seramai 127 anak yatim sedang menerima tajaan dan sokongan.

Di Palestin, Mariam, 12, adalah salah seorang anak yatim yang merasai sendiri perubahan hidup setelah mendapat bantuan penaja.

Ketika berusia 10 tahun, Mariam bersama ibu dan tiga adik-beradiknya terpaksa meninggalkan rumah selepas kediaman mereka dibom dalam peperangan 2023.

Sejak itu, mereka melalui malam-malam dengan penuh ketakutan, kesejukan, kelaparan dan kehausan sebelum mendapatkan perlindungan sementara di sebuah khemah di Deir al-Balah.

Dalam keadaan serba kekurangan, keluarga Mariam tidak mempunyai tilam, selimut, pakaian panas dan makanan yang mencukupi. Mereka terpaksa bertahan dengan sup lentil selama berbulan-bulan, manakala anak-anak turut jatuh sakit.

“Saya sangat takut kehilangan salah seorang daripada mereka dalam keadaan yang begitu genting di tempat perlindungan ini,” kata ibu Mariam, Hanaa.

Keadaan keluarga itu mula berubah apabila Mariam menerima tajaan melalui Islamic Relief. Dengan sokongan tersebut, ibunya dapat membeli selimut, tepung, sayur-sayuran dan makanan dalam tin untuk keluarga. Mariam turut menerima sehelai kot baharu ketika dia sedang sakit dan memerlukan pakaian lebih panas.

“Apabila saya mendapat maklumat anak saya akan menerima tajaan, saya menangis kegembiraan,” kata Hanaa.

Bagi Mariam pula, bantuan itu menjadi tanda mereka masih diingati dan tidak dilupakan.

“Saya sangat gembira dengan kot baru tu. Saya berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah agar membalas segala kebaikan penaja kerana mereka tidak melupakan kami dalam keadaan yang begitu sukar,” katanya.

Kisah Mariam mencerminkan bahawa di sebalik setiap bantuan, terdapat seorang anak dengan impian yang tinggi dan sebuah keluarga yang sedang berusaha untuk terus bertahan.

Melalui MyYateem #CareForOrphan, IR Malaysia menyeru masyarakat untuk bersama-sama memastikan anak-anak yatim mendapat sokongan yang diperlukan sehingga mereka dapat membina masa depan yang lebih cerah.

Orang ramai yang ingin menjadi ‘ibu’, ‘ayah’ atau ‘pelindung’ kepada anak-anak ini, boleh dapatkan maklumat lanjut MyYateem di laman web rasmi, www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *