SHAH ALAM – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 31, sepatutnya dikenakan hukuman denda, bukannya penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, kata peguamnya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Peguam Lavanesh Haresh yang mewakili Ismanira berkata, hukuman penjara dikenakan terhadap anak guamnya adalah berlebihan memandangkan wanita itu merupakan pesalah kali pertama dan memberikan kerjasama sepanjang siasatan serta perbicaraan.
Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan Ismanira bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Hisham Ismail.
“Tiada saksi menggambarkan dia sebagai seorang yang ganas atau ibu yang tidak menyayangi anak sulung tersebut.
“Kecuaian yang didakwa berlaku hanya selama beberapa saat, malah dia segera berpatah balik untuk mencari kanak-kanak tersebut,” katanya.
Lavanesh berkata, Ismanira bukan sahaja kehilangan anak istimewanya, malah anak keduanya turut didiagnosis autisme dan memerlukan penjagaan daripada seorang ibu.
Menurutnya, pihak pendakwaan selaku responden juga gagal membuktikan bahawa hukuman penjara lima tahun adalah wajar atau tidak mencukupi.
Justeru, katanya, mahkamah wajar mengetepikan hukuman penjara berkenaan dan menggantikannya dengan hukuman denda.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira semua faktor sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Ismanira.
Menjawab hujahan pembelaan mengenai kesengsaraan yang dialami Ismanira susulan kehilangan anaknya serta penderitaan ketika berada di penjara, Raja Zaizul Faridah berkata hubungan kekeluargaan dengan mangsa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meringankan hukuman.
“Jika tertuduh merupakan ibu bapa atau saudara kepada mangsa, sekiranya dituduh dan didapati bersalah, perkara itu tidak boleh dijadikan pengukur kepada jumlah hukuman.
“Justeru, responden memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada orang lain dan perayu sendiri,” katanya.
Prosiding turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Ahmad Iqbal Azman, manakala Ismanira diwakili Lavanesh bersama Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad dan Haresh Mahadevan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam selepas dilaporkan hilang.
Mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemukan kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pada 13 Jun 2024, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama mengabaikan Zayn Rayyan sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berkenaan, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, pada 21 Julai 2025, Hakim Dr Syahliza Warnoh melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan itu tanpa perlu membela diri selepas kes pendakwaan selesai.
Pada 31 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
