KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan menyeluruh dan bersepadu dijalankan susulan dakwaan sisa pembinaan dan perobohan dari Singapura dibawa masuk sebelum dilupuskan secara haram di beberapa lokasi di Pontian, Johor.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim, berkata keputusan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) menghentikan penghantaran sisa berkenaan serta-merta adalah langkah wajar, namun ia tidak seharusnya menutup persoalan mengenai kemungkinan wujud kelemahan penguatkuasaan di Malaysia.
Menurutnya, siasatan juga perlu meneliti kemungkinan berlaku pemalsuan pengisytiharan, kecuaian atau unsur perlindungan oleh pihak tertentu sehingga kegiatan berkenaan dipercayai dapat berlangsung berulang kali.
“Dilaporkan sembilan syarikat berdaftar di Malaysia sedang disiasat, manakala beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Turut timbul dakwaan bahawa muatan berkenaan diisytiharkan sebagai ‘sisa pertanian’ ketika memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Jais berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah bagaimana puluhan treler didakwa dapat melepasi pintu sempadan dan menjalankan kegiatan berkenaan secara berulang, termasuk dakwaan ia berlaku hampir dua tahun, tanpa dikesan atau dihentikan lebih awal.
Sehubungan itu, MCW menggesa siasatan bersepadu membabitkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis, pihak berkuasa tempatan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, siasatan tidak seharusnya tertumpu kepada pemandu lori atau pemilik tanah semata-mata, sebaliknya perlu meneliti keseluruhan rantaian kegiatan terbabit.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Antara perkara yang perlu disiasat termasuk syarikat pengangkutan, pengimport, pemilik tanah, broker, dokumen kastam, permit, lesen, pembayaran serta pegawai yang meluluskan atau memeriksa kemasukan sisa berkenaan.
“Dakwaan pembayaran sehingga RM15,000 kepada pemilik tanah dan orang tengah juga perlu disiasat secara telus. Jangan hanya mendakwa pemandu lori atau pemilik tanah, sedangkan dalang serta pihak yang meraih keuntungan lebih besar terlepas,” katanya.
Jais berkata, kegiatan jenayah alam sekitar juga boleh mempunyai unsur rasuah sekiranya aktiviti haram dibolehkan melalui wang, pengaruh, perlindungan atau sikap menutup mata.
Beliau menegaskan Malaysia tidak seharusnya menjadi tempat pelupusan sisa bagi negara lain dan semua pihak yang terbukti terlibat, termasuk pegawai awam, perlu dikenakan tindakan undang-undang tanpa pilih kasih.
“Malaysia bukan ‘tong sampah’ kepada mana-mana negara. Semua pihak yang terbukti terlibat mesti didakwa tanpa pilih kasih,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
