PAPAR – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bergerak di luar kerajaan negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Presidennya Priscella Peter berkata keputusan itu dibuat sebulat suara bersama Majlis Tertinggi parti dengan mengambil kira kepentingan KDM serta usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
“Sebagai persiapan menghadapi PRN dan PRU, parti KDM bersama-sama dengan Majlis Tertinggi parti telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam Kerajaan GRS.
“Keputusan ini sungguh berat, tetapi apa yang penting kami mahu tunjukkan kepada rakyat dan ahli di akar umbi bahawa kita mempunyai hala tuju jelas untuk mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata perkembangan selepas pilihan raya lalu turut memberi kesan kepada KDM dan menjadi antara pertimbangan parti untuk bergerak di luar kerajaan GRS.
Beliau berkata KDM perlu mula membina semula keyakinan rakyat sebelum pilihan raya akan datang dan tidak hanya mengambil tindakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Dalam pada itu, Priscella berkata KDM tidak akan bertanding secara solo pada PRU akan datang, sebaliknya terbuka untuk bekerjasama dengan parti tempatan bagi membentuk blok politik yang berteraskan kepentingan Sabah.
Beliau berkata perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti tempatan termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah berlangsung, namun belum ada keputusan muktamad mengenai kerjasama berkenaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan Datuk Rusdin Riman menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat diwakilinya serta memastikan kestabilan Kerajaan Negeri Sabah bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendirian Rusdin, yang juga ADUN tunggal KDM, disampaikan kepadanya ketika beliau menghubungi ADUN berkenaan hari ini susulan pengumuman parti itu.
Armizan berkata sokongan KDM menerusi Rusdin terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah diputuskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lepas, sekali gus menjadikan KDM sebahagian daripada kerajaan negeri meskipun bukan parti komponen GRS.
“Komitmen beliau adalah berkhidmat kepada masyarakat yang beliau wakili serta memastikan kestabilan kerajaan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata Rusdin turut menghadiri satu acara bersama-sama ADUN kerajaan negeri di Kota Kinabalu pagi tadi.
Beliau berkata kehadiran Rusdin dalam acara itu menunjukkan kebersamaan beliau dalam mendukung dan menjayakan pelbagai agenda pembangunan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat Sabah. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
