KUALA LUMPUr – DPS Energy Sdn. Bhd. (DPSE) dan Shantawood Sdn. Bhd. (SSB), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CEIG (M) Sdn. Bhd., anak syarikat China Energy International Group Co. Ltd. (CEEC) dengan tujuan membangunkan pusat data dan menyokong infrastruktur tenaga di Melaka, meliputi tenaga boleh diperbaharui, penjanaan kuasa, penghantaran dan bekalan air.
DPS berkata, perkongsian itu akan memberi tumpuan kepada dua tapak projeknya iaitu Tapak Projek Lendu, melibatkan 345 ekar dengan kapasiti kuasa dicadangkan sebanyak 500MW hingga 1GW, dan Tapak Projek Bukit Rambai, ruang kilang seluas 20 ekar dengan kapasiti 89MW, berpotensi untuk dikembangkan kepada 400MW.
Pelan termasuk Pusat Data DPS 1 di Lendu, yang disokong oleh loji janakuasa turbin gas Kelas F modular sebanyak 500MW, boleh dikembangkan kepada 1.5GW, di samping ladang solar dan infrastruktur air seluas 850 ekar.
Di Bukit Rambai, kadar sewa indikatif adalah antara US$130–230 setiap kilowatt, dengan tempoh penyewaan minimum selama 15 tahun, menurut siaran DPS.
Pengerusi Kumpulan dan Pengasas DPS Resources Berhad, Tan Sri Dr. Sow Chin Chuan berkata, di bawah MoU tersebut, anak syarikat DPS akan menyediakan tanah, menyelaras infrastruktur dan mengurus kelulusan kawal selia, manakala CEIG akan menyumbang kepakaran teknikal, rangkaian global dan sokongan operasi.
CEIG juga akan membantu mengenal pasti pelabur, penyewa dan rakan kongsi, termasuk perusahaan antarabangsa.
DPSE dan SSB juga telah menerima surat sokongan daripada kerajaan Melaka melalui Ketua Menteri Melaka, dengan borang permohonan berkaitan, dokumen sokongan dan surat sokongan yang dikemukakan kepada Pasukan Petugas Pusat Data untuk pertimbangan dan kelulusan.
Telegram: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
