KUALA LUMPUR – Selepas latar belakang akademik dan kelayakannya dipersoalkan netizen, Senator Datuk Dr. Zulkifli Hassan tampil menjelaskan pengalaman akademik dan profesional yang dilaluinya sepanjang lebih dua dekad.
Menerusi satu hantaran, Zulkifli berkata, beliau sebenarnya bukan individu yang terkenal dan tidak pernah menganggap dirinya sebagai sesiapa, sebaliknya hanya seorang anak kampung yang membesar dalam keluarga sederhana di FELDA Sungai Behrang, Muallim, Perak.
Menurutnya, beliau dibesarkan oleh Allahyarham ayahanda dan Allahyarhamah bondanya yang menyara keluarga dengan menoreh getah, selain mengajar anak-anak FELDA membaca al-Quran.
“Memang saya tidak terkenal dan bukanlah siapa-siapa. Saya hanyalah anak kampung,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik latar belakang kehidupan yang sederhana itu, Zulkifli berkata, perjalanan pendidikannya membawanya ke bidang undang-undang, syariah dan kewangan Islam.
Beliau berkata, antara kelayakan akademik dimilikinya ialah ijazah dalam Pengajian Undang-Undang, ijazah dalam Pengajian Syariah, ijazah sarjana serta ijazah kedoktoran (PhD) dalam Kewangan Islam dari United Kingdom.
Selain kelayakan akademik, beliau turut mengikuti kursus profesional dalam bidang Kewangan Islam dan mendakwa memperoleh keputusan cemerlang.
Pengalaman profesionalnya, kata beliau, turut merangkumi bidang perundangan, akademik, syariah serta industri kewangan Islam.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Saya ada juga pengalaman sebagai peguam, penasihat undang-undang, pensyarah undang-undang, Penasihat Syariah bank-bank dan takaful dan koperasi termasuk penasihat kepada beberapa organisasi di luar negara,” katanya.
Zulkifli turut mendedahkan pernah mempunyai pengalaman bekerja di Dubai International Financial Centre (DIFC), Emiriah Arab Bersatu serta Fordham Law School di New York, Amerika Syarikat.
Dalam bidang antarabangsa, beliau berkata, pernah mewakili Malaysia dalam program Young Intellectual Exchange di Jepun, selain menjadi penerima Biasiswa Fulbright di Amerika Syarikat.
Pengalaman dalam bidang akademik pula, katanya, merangkumi jawatan sebagai pensyarah, profesor, dekan dan timbalan rektor di institusi pengajian tinggi.
Beliau juga pernah dilantik sebagai profesor pelawat di beberapa universiti serta pernah menganggotai lembaga penasihat sebuah universiti di luar negara.
Menurut Zulkifli, penglibatannya dalam bidang Kewangan Islam juga bukan sesuatu yang baharu kerana beliau mendakwa sudah lebih 25 tahun bergelumang dalam bidang berkenaan.
Tempoh pengalaman itu, katanya, turut memberi pendedahan kepada aspek pengauditan, perakaunan, penyata kewangan dan kunci kira-kira atau balance sheet.
“Pengalaman saya dalam dunia Kewangan Islam sudah melebihi 25 tahun. Sudah biasa juga dengan pengauditan, perakaunan, penyata kewangan, balance sheet dan lain-lain.
“Lulus cemerlang juga subjek ini dalam kursus profesional yang saya ambil,” katanya.
Beliau turut mendedahkan pernah menerima pengiktirafan The Upcoming Scholar di peringkat antarabangsa dalam bidang kewangan Islam ketika masih di peringkat awal kerjaya akademiknya.
Dalam bidang penulisan pula, Zulkifli berkata beliau telah menerbitkan lebih 30 buku dan bab dalam buku dalam bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, selain menghasilkan ratusan artikel dan makalah.
Antara pencapaian yang disebutnya ialah penerimaan anugerah buku terbaik MAPIM peringkat kebangsaan bagi kategori bahasa Inggeris.
Malah, katanya, salah sebuah bukunya turut diterbitkan oleh Edinburgh University Press, yang disifatkannya sebagai antara penerbit akademik terkemuka di peringkat antarabangsa.
Selain bidang akademik dan profesional, Zulkifli turut berkongsi penglibatannya dalam kerja kemanusiaan dan kemasyarakatan di Malaysia serta luar negara.
Beliau berkata pernah menyertai atau melaksanakan misi kemanusiaan di beberapa lokasi yang berdepan konflik dan bencana termasuk Gaza, Syria, Turkiye dan Indonesia.
Penglibatan dalam kerja kemasyarakatan turut diteruskannya ketika berada di luar negara, termasuk bersama Palestine Solidarity Campaign di United Kingdom serta Fordham Islamic Society, MUBANY dan AMAL ketika berada di New York.
Dalam hantaran sama, Zulkifli berkata terdapat juga sebahagian pengalaman keilmuannya yang tidak perlu dijadikan bahan untuk dipertontonkan kepada umum.
“Cuma tidak perlulah saya cerita berapa banyak sanad-sanad hadis yang telah saya terima daripada alim ulama muktabar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa individu yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai latar belakang akademik dan penulisannya boleh merujuk laman sesawang peribadinya, yang menurutnya pernah menerima Anugerah Weblog Akademik Terbaik Ahli Akademik Peringkat Kebangsaan.
Zulkifli bagaimanapun menegaskan segala pencapaian tersebut tidak datang hasil usahanya seorang diri.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kejayaan yang dicapai sepanjang perjalanan hidupnya sebagai hasil sokongan keluarga, guru, sahabat dan mereka yang sentiasa berada di belakangnya.
“Kesemua kejayaan ini adalah hasil sokongan Almarhum Ayahanda, Almarhumah Bonda, isteri tercinta, anak-anak, keluarga, sahabat-sahabat dan kesemua guru saya khususnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang, Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, UIAM dan Durham University, United Kingdom,” katanya.
Beliau mengakhiri perkongsian itu dengan ungkapan Hadza min fadhli Rabbi yang membawa maksud bahawa segala pencapaian tersebut adalah daripada limpah kurnia Tuhan.
“Terus belajar dan belajar,” katanya.
Penjelasan itu hadir ketika pandangan dan ulasan Zulkifli mengenai laporan RCI Tabung Haji menjadi perhatian di media sosial, dengan sebahagian netizen mempersoalkan latar belakang akademik serta pengalaman beliau dalam bidang yang berkaitan.
Dalam menjawab persoalan berkenaan, Zulkifli memilih untuk berkongsi perjalanan pendidikannya, pengalaman profesional, penglibatan dalam bidang kewangan Islam serta kerjaya akademik yang dibinanya sejak lebih dua dekad lalu.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
