PUTRAJAYA – Malaysia bakal menghimpunkan lebih 1,000 pembuat dasar, pemimpin industri dan pemain sektor maritim dari seluruh dunia menerusi penganjuran Minggu Maritim Malaysia 2026 (MMW2026), sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab maritim dan logistik utama di rantau Asia Pasifik.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 28 Sept hingga 2 Okt itu dianjurkan dengan kerjasama strategik Malaysia International Shipping Corp (MISC) dan Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA).
Bertemakan “From Ambition to Action: Powering Maritime Excellence”, MMW2026 akan menjadi platform utama bagi membincangkan hala tuju industri maritim global, termasuk isu penyahkarbonan, peralihan tenaga, keselamatan rantaian bekalan, pendigitalan serta pembangunan bakat maritim.
“Penganjuran berkenaan turut memperkukuh peranan Malaysia dalam agenda Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), selain meningkatkan keterlihatan negara sebagai sebuah negara maritim progresif dan hab logistik serantau,” menurut kenyataan itu.
MOT memaklumkan sepanjang lima hari penganjuran, MMW2026 akan menampilkan pelbagai program utama termasuk Forum Meja Bulat Strategik, Dialog Kepimpinan, sesi pembiayaan maritim, empat trek persidangan, Hari Terbuka Maritim ALAM, Anugerah Ikon Maritim Malaysia serta pameran industri yang dijangka menampilkan 80 reruai daripada agensi kerajaan dan pemain industri tempatan serta antarabangsa.
“Edisi kali ini dijangka menjadi penganjuran paling komprehensif sejak Minggu Maritim Malaysia diperkenalkan pada 2014 menerusi pendekatan yang menggabungkan persidangan utama di KLCC dengan beberapa program satelit bagi memperluas penyertaan kerajaan, industri, institusi kewangan, akademia dan generasi pelapis sektor maritim,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOT, penganjuran itu juga dijangka merangsang pelaburan baharu, mempercepat pelaksanaan agenda penyahkarbonan dan pendigitalan industri, memperkukuh pembangunan modal insan serta mengeratkan kerjasama strategik Malaysia dengan rakan antarabangsa dalam sektor maritim. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
