Oleh: Dr. Hakimi Halim

DALAM sejarah dunia, perbicaraan di dalam kandang undang- undang sering didebatkan dalam satu wacana berpanjangan. Seperti persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat, siapa yang benar dan siapa yang salah. Tiada satu keadilan yang dapat dinoktahkan. Begitu juga dengan tiga perbicaraan di tiga zaman yang merubah landskap politik, sosial dan budaya di tempatnya.
Terdapat tiga perbicaraan dalam sejarah dunia yang tidak habis-habisnya dibahas iaitu perbicaraan Socrates sekitar 399 Sebelum Masihi, perbicaraan Alfred Dreyfus sekitar abad ke-19 dan perbicaraan Najib Razak di Malaysia dan beberapa individu lain yang didakwa di Amerika pada masa kini.
Dalam hal ini kenapa Kes Najib Razak dipilih. Ini kerana kes ini dianggap besar, maka ia signifikan dibincangkan setanding tokoh-tokoh hebat yang pernah bersalah seperti Socrates dan Dreyfus.
Kes ini tidak salah diletakkan sebagai perbicaraan bersejarah dunia. Ini disebabkan ia mendapat perhatian Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat satu ketika dahulu. Ketiga- tiga perbicaraan ini adalah pada latar masa, tempat, sosial dan masyarakat yang berbeza.
Kes Socrates dibuka rentetan tuduhan-tuduhan para demokratik bahawa beliau tidak menghormati dewa-dewa Athens dan merosakkan pemikiran orang-orang muda dalam menjunjung demokrasi.
Socrates sebagai pemikir bangsa, begitu mencabar kebijaksanaan warga, institusi negara dan pemain-pemain di dalamnya menimbulkan ketidakpuasan hati masyarakat yang sedang pulih dari trauma Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta dengan fasa pemulihan politik yang masih rapuh. Masyarakat pada masa itu tidak bersedia dengan cabaran-cabaran minda dan kebijaksanaan baharu yang menjadi kejutan budaya masyarakat.
Akibat cabaran-cabaran kepada institusi yang antaranya ‘suara ramai tidak semestinya sentiasa betul’ iaitu negara sepatutnya dipimpin oleh orang-orang bijak dan berkemampuan, bukan sekadar popular semata-mata.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau juga memalukan ahli-ahli politik dengan menyoal definisi keadilan, kebaikan dan kebijaksanaan, di mana ahli politik selalunya beretorik di atas pentas, tetapi tidak dapat membuktikan retorika mereka secara ilmiah.
Socrates juga mempersoalkan institusi dengan perkataan manusia sering menganggap mereka itu tahu, tetapi sebenarnya mereka tidak tahu. Persoalan-persoalan kebijaksanaan ini menyebabkan anak-anak muda terpengaruh dan mempersoalkan sistem demokrasi itu sendiri.
Persoalan sama ada semua orang layak memerintah (asalkan ada pengaruh) atau yang paling bijak layak memerintah telah bertebaran di seluruh Athens. Bahaya menurut Socrates berlaku bukan bila orang banyak bertanya, tetapi bila orang tidak lagi bertanya kerana takut dengan akibatnya.
Dalam kes ini Socrates telah dihukum mati dengan disuruh meminum racun iaitu hukuman yang telah dipersetujui oleh majoriti juri di Athens ketika itu.
Setelah 2000 tahun kemudian, muncul pula kes Alfred Dreyfus di Perancis yang dituduh menjual maklumat sulit kepada negara musuh. Dreyfus seorang pegawai kanan tentera berbangsa yahudi didakwa menjual maklumat sulit kepada Jerman dan beliau dijatuhkan pangkat tenteranya secara terhina serta dihukum bersalah oleh tentera dan kerajaan.
Malah, beliau juga diadili oleh public trial sehingga pelukis-pelukis karikatur melukis keburukan-keburukan untuk menjatuhkan imej beliau. Pelukis-pelukis karikatur pada masa itu bertindak seolah-olah prapagandis media sosial kalau hendak disamakan dengan propaganda visual pada hari ini.
Hal ini menyebabkan berlaku dua kem masyarakat sehingga ia menjadi isu nasional betapa hal lagi terdapat banyak ilmuan-ilmuan dan tokoh masyarakat berbangsa Yahudi yang dengan kepandaian serta kekuatan persaudaraan bangsa mereka menyokong gerakan simpati kepada Dreyfus.
Mereka menjalankan kempen membela ketidakadilan hukuman ke atas Dreyfus ini. Pada masa itu, golongan pelukis yang mempunyai pengaruh besar kepada masyarakat Paris (kerana Paris dikenali sebagai Kota Seni) juga terbahagi kepada dua pihak, iaitu menyebelahi Dreyfus atau anti kepada Dreyfus.
Masa berlalu, Dreyfus akhirnya didapati tidak bersalah dan beliau akhirnya dibebaskan (rehabilitated) selepas bukti semula dan siasatan semula dilakukan. Dreyfus Affair akhirnya memahat sejarah terhadap identiti Perancis dan integriti institusi kehakiman negara. Kes Dryfus ini boleh menjadi pengajaran terhadap institusi yang mungkin tidak selalu betul dan mungkin boleh terkilaf.
Sekitar 200 tahun setelah itu, berlakunya perbicaraan Najib Razak di Malaysia dan beberapa perbicaraan berasingan di Amerika Syarikat. Beliau sebagai bekas Perdana Menteri menghadapi pelbagai tuduhan salah urus tadbir dan kewangan.
Perbicaraan yang panjang dengan banyaknya tuduhan-tuduhan berasingan ini diikuti oleh semua rakyat Malaysia dan dunia, menyebabkan rakyat Malaysia berpecah dari segi pendapat berdasarkan ideologi politik, sumber maklumat yang diikuti serta penelitian awam terhadap lompong-lompong pertuduhan yang boleh menjadi trial by public dan trial by social media.
Perbicaraan Najib ini menjadi sesuatu yang lebih besar dari seorang individu di sebalik Tembok Penjara Kajang sahaja. Malah, ia menjadi perdebatan dari pelbagai kem politik terhadap integriti institusi, kebebasan badan kehakiman, peranan media terutama media sosial dan masa depan politik negara.
Malah, setiap kali pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil semasa beliau masih bebas, dan pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan ketika beliau di penjara, para pesaing politik amat berminat dengan ‘Perbicaraan Najib’ atau ‘Hukuman Najib’ walaupun ia tidak ada kaitan dengan isu-isu setempat Johor dan Negeri Sembilan yang sepatutnya menjadi pertimbangan wajar semua parti-parti politik dan calon-calon.
Perbicaraan Najib tetap menjadi modal kawan yang menjual air mata dan lawan yang tegak dengan hukuman mahkamah yang penulis jangkakan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.
Apa persamaan antara Socrates, Dreyfus dan Najib? Ketiga- tiga ini mempunyai persamaan dari segi wujudnya naratif awam yang disebarkan melalui pidato, forum dan perbincangan masyarakat.
Socrates mungkin tidak menghadapi penghakiman visual kerana ketiadaan aparatus reproduktif mekanikal seperti lukisan, fotografi, akhbar, bahan cetak dan gambar.
Tetapi Dreyfus menghadapinya dengan propaganda bahan bercetak yang menghinanya dan surat terbuka oleh penulis Yahudi terkemuka, Emile Zola bertajuk J’Accuse yang membela beliau.
Najib pula tentunya menghadapi tentangan yang lebih hebat dengan kes-kes beliau dibincangkan setiap hari oleh pelbagai media sama ada media tradisional, media sosial dan saluran Wired News terkemuka di seluruh dunia.
Malah filem-filem dokumentari pendedahan siasatan kewartawanan sering diterbitkan dan ditayangkan di dalam banyak platform dunia untuk terus memainkan naratif ini.
Persamaan lain antara ketiga-tiga tokoh ini ialah tidak lari dari masalah yang mereka hadapi. Anak murid Socrates merancang pelarian beliau, tetapi beliau tidak menyetujui rancangan itu kerana sebagai ilmuan dan patriotik beliau sanggup dihukum mati oleh negara yang dicintainya.
Dreyfus juga menjalani hukuman dan akhirnya disucikan oleh negaranya tanpa berganjak ke mana-mana, manakala Najib sebagai Partyman menasihati supaya jangan terlibat dengan masalah beliau dan sentiasa menghormati proses mahkamah.
Beliau sendiri menyatakan bahawa beliau percaya kepada Sistem Kehakiman Negara walau apa pun hukuman yang bakal beliau terima. Dari segi moral duniawi, ketiga- tiga ini dihukum bersalah oleh sistem, dan sistem mempunyai integriti sendiri, kewibawaan sendiri atau lompong sendiri yang memang tidak dapat siapa pun menafikan kerana ia adalah ciptaan manusia.
Sebagai patriotik kita menerima, menyayangi dan menjunjung sistem yang mengatur kita ini. Bagaimana pun, jika dinilai dari sudut budiman, ketiga-tiga ini boleh disifatkan tokoh budiman kerana tidak lari atau menyalahkan sistem, malah menyerahkan tengkuk mereka untuk undang-undang menilai mereka. Sesuatu yang sukar dilakukan oleh mana-mana individu yang menghadapi situasi seperti mereka.
Ketiga-tiga kes ini adalah pengajaran kepada manusia pada masa depan bahawa walaubagaimana satu hukum itu dinoktahkan oleh negara hukum, ia akan terus didebatkan dalam lipatan sejarah.
Malah perbincangan masyarakat, penghasilan dokumentari, penghasilan karya kreatif, muzik dan lagu malah pementasan teater dan penerbitan filem terus akan diterbitkan dari zaman ke zaman untuk menjadi buah bicara anak-anak kita beratus tahun ke hadapan bahawa inilah sejarah bangsa mereka. Tidakkah itu hebat?
Hakimi Halim adalah Pensyarah Kanan Program Seni Halus, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak. Beliau merupakan pelajar Doktor Falsafah secara penyelidikan, Pengajian Seni Halus khusus dalam kajian diminatinya iaitu visual politik dan telah bergraduat pada tahun 2022. Kini beliau aktif menulis, menghasilkan karya seni, menjadi kurator pameran seni, dan menjadi pemeriksa sarjana dan PhD dalam bidang beliau selain kerja hakiki seperti pengajaran, penyelidikan, konsultasi dan kerja- kerja kemasyarakatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
