Oleh: Editorial ND
SETIAP kali tibanya Program RXZ Members di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, ribuan peminat motosikal dari seluruh negara akan membanjiri Terengganu.
Hotel penuh, gerai makan sesak, bengkel motosikal sibuk dan peniaga kecil menikmati limpahan rezeki. Dari sudut ekonomi dan pelancongan, tidak dinafikan program ini memberi impak yang cukup besar kepada negeri.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada satu persoalan yang wajar ditanya secara jujur.
Penting sangatkah program ini diadakan setiap tahun jika setiap kali penganjurannya kita turut dihidangkan dengan berita kemalangan maut melibatkan peserta yang dalam perjalanan pergi dan pulang daripada program?
Sudah menjadi satu corak yang membimbangkan. Sebelum acara bermula, media melaporkan kemalangan membabitkan penunggang yang menuju ke Terengganu. Selepas acara berakhir pula, muncul lagi berita kehilangan nyawa ketika perjalanan pulang.
Walaupun setiap kemalangan mempunyai punca yang berbeza dan berlaku di jalan raya awam, hakikatnya semua mangsa berkongsi destinasi atau tujuan yang sama, iaitu menghadiri RXZ Members.
Persoalannya bukan untuk menyalahkan penganjur semata-mata. Sebaliknya, sama ada semua pihak telah melakukan segala yang termampu untuk mengurangkan risiko ini.
Penganjur mungkin telah menyediakan lokasi yang selamat. Polis mungkin telah mengatur kawalan lalu lintas. Kerajaan negeri pula melihat program ini sebagai pemangkin ekonomi.
Namun, keselamatan peserta tidak sepatutnya bermula apabila mereka tiba di litar, sebaliknya sejak mereka memulas pendikit motosikal dari rumah masing-masing.
Jika setiap tahun jumlah peserta semakin meningkat sehingga mencecah puluhan ribu orang, maka pendekatan keselamatan juga mesti berkembang seiring.

Kempen “Ride Safe” semata-mata tidak lagi mencukupi jika akhirnya kita masih membaca tajuk berita mengenai kematian penunggang dalam perjalanan ke program yang sama.
Mungkin sudah tiba masanya penganjur bersama agensi kerajaan memikirkan pendekatan baharu. Sebagai contoh, konvoi mengikut zon dengan pengiring keselamatan, pemeriksaan teknikal motosikal secara sukarela di lokasi tertentu, kawasan rehat rasmi di sepanjang lebuh raya, kempen pengurusan keletihan dan had perjalanan, serta kerjasama lebih erat dengan PLUS, LPT dan polis bagi mengurus aliran ribuan motosikal yang bergerak serentak.
Komuniti RXZ sendiri juga perlu melakukan muhasabah. Minat terhadap motosikal tidak boleh diterjemahkan sebagai keberanian mengambil risiko di jalan raya. Menunggang secara berbahaya, berlumba sesama sendiri atau mengabaikan keadaan fizikal kerana mengejar masa hanya mengundang tragedi. Tiada acara yang begitu penting sehingga nyawa menjadi pertaruhannya.
Hakikatnya, RXZ Members bukan sekadar himpunan motosikal. Ia telah menjadi fenomena sosial dan ekonomi. Justeru, menghentikan program mungkin bukan penyelesaiannya.
Lebih penting ialah menjadikan program ini contoh terbaik bagaimana acara bermotosikal berskala besar boleh dianjurkan dengan budaya keselamatan yang benar-benar berkesan.
Kita mahu melihat ribuan motosikal memenuhi Gong Badak. Tetapi lebih daripada itu, kita mahu melihat ribuan peserta pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Kerana akhirnya, kemeriahan sesebuah program tidak sepatutnya diukur melalui jumlah kehadiran semata-mata, tetapi juga melalui jumlah nyawa yang berjaya kembali ke rumah. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
