Paip bocor

Sebanyak 34,000 akaun berdepan gangguan bekalan air di Kelantan

KOTA BHARU – Kira-kira 34,000 akaun pengguna di empat jajahan bakal berdepan gangguan bekalan air apabila mengalami kebocoran di paip air utama di Sungai Bagan, Machang.

Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kebocoran itu menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang.

Katanya, kebocoran melibatkan paip air mentah jenis Mild Steel (MS) bersaiz 600 milimeter menyebabkan loji berkenaan tidak dapat beroperasi pada kadar pengeluaran normal.

Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan air melibatkan jajahan Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur.

“Kerja pembaikan akan dimulakan pada jam 9 malam, Khamis dan dijangka mengambil masa antara 24 hingga 36 jam untuk disiapkan.

“Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat seawal petang Jumaat atau selewat-lewatnya pada Sabtu,” katanya pada Rabu.

Menurut AKSB, pihaknya akan menggerakkan lori tangki air milik syarikat serta lori air kontrak bagi membantu pengguna yang terjejas sepanjang tempoh pembaikan dijalankan.

Katanya, operator air dari beberapa negeri lain turut memberikan komitmen untuk membantu penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas, khususnya ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, penjara dan asrama institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, AKSB memaklumkan pengguna telah dimaklumkan lebih awal menerusi sistem Infoblast oleh AKSB Careline (PINTAS) di talian 15777 dan perkembangan terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi laman sesawang, aplikasi MyAKSB serta platform media sosial rasmi AKSB.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *