Murid Tahun Lima Cedera Terjatuh Dari Tingkat Tiga Sekolah

ALOR SETAR – Seorang murid lelaki Tahun Lima cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Padang Terap, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dipercayai memanjat ke bahagian siling bangunan sekolah bagi menangkap seekor burung merpati sebelum terjatuh.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada seorang guru sekolah berkenaan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu merupakan kemalangan dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan kejadian berlaku sebelum sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermula pada sebelah petang.

Menurut JPN Kedah, murid berkenaan pulang ke rumah selepas sesi persekolahan sebelum kembali ke sekolah untuk mengikuti kelas KAFA.

“Sebelum kelas bermula, murid itu dipercayai memanjat ke ruang siling bangunan sekolah secara bersendirian melalui laluan pili bomba kerana mahu menangkap burung merpati yang berada di dalam siling.

“Maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan dalam satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *