Oleh NurFarhana Zulkeply
SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menegaskan kesiapannya untuk terus menggalas amanah rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi pengukuhan jentera parti serta gerak kerja yang lebih tersusun di peringkat akar umbi.
Semangat yang ditunjukkan ahli dan penyokong parti dalam himpunan keluarga besar UMNO Negeri Sembilan dilihat sebagai bukti bahawa perjuangan parti itu masih mendapat dukungan yang kukuh dalam kalangan akar umbi.
Pimpinan negeri menyeru seluruh jentera parti supaya memperhebatkan usaha mendekati rakyat bermula sekarang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali diyakini sebagai pilihan terbaik untuk mentadbir Negeri Sembilan.
Menurutnya, masa yang ada semakin suntuk dan seluruh jentera perlu bekerja lebih keras untuk memastikan rakyat kembali memperoleh kepimpinan yang mampu membawa kestabilan serta pembangunan berterusan kepada negeri itu.
Beliau berkata, kekuatan UMNO bergantung kepada kesatuan dalam kalangan ahli serta keupayaan parti mendekati rakyat secara konsisten, ikhlas dan berterusan.
Katanya, keyakinan rakyat tidak boleh dibina hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu dipupuk melalui kerja yang berterusan, penyelesaian kepada isu rakyat serta kehadiran pemimpin yang sentiasa bersama masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan kesepaduan dalam kalangan ahli UMNO akan menjadi faktor penting dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, selagi akar umbi kekal teguh mempertahankan perjuangan parti, UMNO dan BN mempunyai peluang untuk terus melakar kepercayaan rakyat demi masa depan Negeri Sembilan.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001