Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menggantung Jawatankuasa Perhubungan parti itu di Johor berkuat kuasa serta-merta susulan tindakannya menarik diri dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor.
Setiausaha Agung GERAKAN, Wong Chia Zhen berkata, ini kerana Jawatankuasa Perhubungan Johor membuat keputusan itu secara unilateral tanpa sebarang rundingan atau kelulusan daripada kepimpinan Pusat.
“Jawatankuasa Perhubungan GERAKAN Johor digantung sementara siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.
“Keputusan penggantungan itu dibuat selepas kami mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Presiden Datuk Dr Dominic Lau, semalam,” katanya melalui kenyataan, di sini.
Sebelum ini, media melaporkan GERAKAN menarik diri daripada menyertai PRN Johor kerana didakwa tidak berpuas hati dengan peruntukan kerusi melalui Perikatan Nasional (PN).
Namun Naib Presidennya, Koo Shiaw Lee, dilaporkan menafikan dakwaan terbabit, sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan kepada pertimbangan pragmatik antaranya kesediaan keseluruhan semasa organisasi parti, keupayaan mobilisasi akar umbi serta peruntukan sumber.
Pada masa sama, Chia Zhen berkata, Jawatankuasa Pusat sebulat suara berpandangan bahawa tindakan penarikan diri itu adalah satu salah laku serius kerana melanggar disiplin parti, prinsip kepimpinan kolektif serta tatacara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan parti.
Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan pentadbiran serta persiapan parti menghadapi PRN Johor tidak terjejas, Jawatankuasa Pusat turut melantik Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong, sebagai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Johor berkuat kuasa serta-merta.
“GERAKAN meminta seluruh ahli parti supaya kekal tenang, menghormati keputusan organisasi serta terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha membantu dan berkempen bagi calon PN dalam PRN Johor.
“Parti akan terus mempertahankan prinsip disiplin, perpaduan dan keutuhan organisasi demi memastikan perjuangan parti serta kepentingan gabungan PN terus diperkasakan,” katanya.