Parlimen akan bebas nilai calon Pendakwa Raya, boleh bahas, undi – Azalina

KUALA LUMPUR: Parlimen akan diberi kebebasan untuk membuat penilaian dan syor terhadap senarai calon Pendakwa Raya yang dikemukakan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), malah boleh membahaskan, membuat pengundian atau mengumumkan secara terbuka mengenai keputusan berkaitan calon.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, berkata melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPKP) yang akan ditubuhkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Parlimen boleh membuat pertimbangan sendiri mengenai cara proses pemilihan dijalankan dan pihak Eksekutif tidak mempunyai hak untuk mengarahkan Parlimen menentukan kaedah yang digunakan.

Justeru, beliau menafikan kenyataan segelintir Ahli Parlimen yang mendakwa Parlimen tidak memainkan peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

“JKPK yang diwujudkan Parlimen boleh membincangkan nama-nama yang disenaraikan SPKP dan memberikan semula pandangannya, sebelum senarai itu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita juga menekankan bahawa Parlimen mempunyai prosedurnya sendiri. Jika Parlimen mahu membuat perbahasan dalam Dewan Rakyat, mahu berbincang, itu semua hak Parlimen dan tidak ada masalah.

“Jika Parlimen mahu umumkan keputusan atau membuat pengundian, itu juga hak Parlimen. Eksekutif tidak akan mengajar Parlimen bagaimana nak menjalankan tanggungjawab Parlimen.

“Jadi, untuk mengatakan Parlimen tidak memainkan peranan, itu tidak tepat,” katanya pada taklimat media berkaitan agenda reformasi institusi di Parlimen, hari ini.

Selasa lalu, tujuh Ahli Parlimen PKR menggesa proses penapisan Parlimen yang ketat dan teliti dilaksanakan dalam cadangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, berkata draf terbaru pindaan itu dilaporkan masih gagal menangani apa yang disifatkan mereka sebagai ‘isu asas’, iaitu peranan Parlimen dalam pelantikan Pendakwa Raya.

Enam Ahli Parlimen lain ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Rodziah Ismail (Ampang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Hassan Karim (Pasir Gudang) dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Azalina menjelaskan, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Parlimen hanya boleh membuat undang-undang dan tidak ada kuasa untuk membuat lantikan.

Bagaimanapun katanya, di bawah reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI melalui RUU itu, Parlimen berhak untuk memantau senarai calon Pendakwa Raya yang disyorkan SPKP.

“Cara Parlimen mahu membuat pemantauan, pemeriksaan balas, mahu panggil (calon), itu hak di bawah peraturan Parlimen.

“Jadi, menuduh kerajaan ini tidak beri peluang kepada Parlimen memainkan peranan, itu tidak adil,” katanya.

Mengenai maklum balas Ahli Parlimen pembangkang terhadap pindaan RUU itu, Azalina memaklumkan, melalui pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mereka memberi maklum balas yang positif, terutama kerana pelantikan Pendakwa Raya itu tidak membabitkan peranan Perdana Menteri dan Kabinet.

“Jika blok pembangkang bersetuju, saya agak terkilan jika wakil rakyat daripada blok kerajaan tidak bersetuju.

“Janganlah kerana marahkan nyamuk, kita bakar kelambu. Tidak suka kepemimpinan, kita marah sebab ini adalah isu rakyat.

“Bagaimanapun, insya-Allah, saya akan bertemu dengan mereka yang masih was-was dan ragu ini,” katanya.

Ditanya sama ada RUU berkenaan dapat dibawa pada pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini, Azalina berkata, ia bergantung sama ada RUU itu akan mendapat sokongan dua pertiga daripada Ahli Parlimen.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

Selepas bacaan kedua pada 3 Mac lalu, RUU itu dirujuk ke JKPK untuk diperhalusi dan ia dijangka dibentangkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Isnin lalu, Azalina dilaporkan berkata, syor penambahbaikan RUU itu antaranya adalah pelantikan Pendakwa Raya dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP, tanpa membabitkan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. – Berita Harian

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *