Tak jaga mulut, pengulas bola sepak ‘diharamkan’ buat liputan Piala Dunia

MIAMI – Seorang pengulas bola sepak kehilangan akreditasi Piala Dunia selepas FIFA menarik balik kebenaran liputannya susulan kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap badan induk itu dan pegawai perlawanan ketika Paraguay menewaskan Turkiye 1-0, menyaksikan Miguel Almiron dibuang padang.

Jorge Chipi Vera hilang kawalan ketika bersiaran secara langsung apabila Almiron menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah pada kejohanan itu kerana melanggar peraturan baharu yang melarang pemain menutup mulut ketika berlaku pertengkaran di atas padang.

Almiron diperintah keluar padang pada masa kecederaan babak pertama selepas mengeluarkan kata-kata kepada pemain Turkiye, Mert Muldur, sambil menutup mulutnya dengan tangan.

Pengulas berkenaan yang berang bertindak melabel Presiden FIFA, Gianni Infantino dan pengadil sebagai “pencuri”, selain menuduh mereka “membunuh bola sepak” ketika Paraguay terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, Vera kemudian memohon maaf dan memaklumkan menerusi platform X pada lewat Isnin bahawa akreditasinya sudah dibatalkan.

“Ketika siaran perlawanan Paraguay menentang Turkiye, saya hilang pertimbangan.

“Dalam keadaan kecewa selepas pemain negara saya dibuang padang dan merasakan pasukan kebangsaan kami dianiaya, saya menggunakan kata-kata yang menghina dan tidak boleh diterima terhadap pengadil, FIFA serta pihak berkuasa mereka,” katanya dalam kenyataan panjang.

Vera berkata hukuman itu bermakna dia tidak lagi dibenarkan terbabit dalam liputan Piala Dunia bagi organisasi medianya sama ada di dalam atau di luar stadium, termasuk sebarang bentuk liputan berkaitan kejohanan itu.

Vera yang bertugas bersama ABC Cardinal dan ABC TV turut memohon maaf kepada penaja yang menyokong liputan platform berkenaan dan memaklumkan dia sudah menghantar surat permohonan maaf kepada FIFA sambil mengambil tanggungjawab penuh atas tindakannya.

“Mempertikaikan sesuatu peraturan atau tidak bersetuju dengan keputusan pengadil bukan alasan untuk saya hilang kawalan seperti yang berlaku.

“Saya gagal melaksanakan perkara paling asas iaitu mengekalkan ketenangan dan rasa hormat yang dituntut dalam profesion ini,” katanya. -REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *