HOUSTON – Belanda bakal melengkapkan kempen Kumpulan F Piala Dunia dengan menentang Tunisia yang sedang bergelut prestasi buruk di Kansas City, Jumaat ini sambil memburu kedudukan teratas kumpulan dan pada masa sama memantau keadaan beberapa penyerang yang mengalami kecederaan ringan.
Tunisia sudah pun tersingkir selepas mengalami dua kekalahan besar yang menyaksikan mereka dibolosi sembilan gol, selain melantik Herve Renard sebagai jurulatih baharu di pertengahan kejohanan.
Belanda pula tampil cemerlang apabila membelasah Sweden 5-1 dalam perlawanan terakhir mereka.
Skuad kendalian Ronald Koeman mendahului Kumpulan F menerusi kelebihan jaringan berbanding Jepun dengan kedua-dua pasukan mengumpul empat mata dan perbezaan gol.
Sweden memiliki tiga mata, manakala Tunisia masih gagal meraih sebarang mata.
Belanda dijangka menerima semula khidmat pemain tengah, Quinten Timber yang terlepas aksi menentang Sweden akibat gegaran otak.
Prestasi meyakinkan Brian Brobbey yang menjaringkan dua gol ketika menentang Sweden berjaya menutup ketiadaan Memphis Depay yang masih berusaha mendapatkan tahap kecergasan terbaik selepas mengalami kecederaan paha.
Depay yang sudah meledak 55 gol di peringkat antarabangsa dan menjadi penjaring terbanyak Belanda setakat ini hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan pertama Kumpulan F.
Koeman mahu Depay kembali dalam kesebelasan utama, namun Brobbey membuktikan dirinya pengganti yang berkualiti walaupun turut dibelenggu masalah hamstring.
Jika Brobbey tidak dapat diturunkan dan Depay belum bersedia, Donyell Malen dijangka mengisi posisi penyerang tengah dengan Crysencio Summerville kembali dalam kesebelasan utama di bahagian sayap meskipun pemain itu turut mengalami hentakan di kepala ketika menentang Sweden.
“Kami mempunyai pelbagai jenis penyerang dan boleh mengubah kedudukan mereka mengikut keperluan. Ia memberi kami banyak pilihan.
“Gol yang kami hasilkan ketika menentang Sweden pasti membuatkan lawan gerun. Kami mempunyai kepantasan dan kualiti ketika menyerang, menjadikan kami pasukan yang sangat berbahaya,” kata Koeman.
Tunisia pula dibolosi 14 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan 0-5 dalam aksi pemanas badan menentang Belgium, selain dibelasah Sweden 1-5 dan Jepun 0-4 di Piala Dunia. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L