87 peratus pekerja Malaysia belum bersedia hadapi AI

KUALA LUMPUR – Isu keselamatan kerjaya dan kelangsungan pendapatan rakyat kini menjadi antara kebimbangan utama apabila penemuan terbaharu menunjukkan 87 peratus pekerja Malaysia berasa tidak bersedia menghadapi gangguan Kecerdasan Buatan (AI) dalam peranan pekerjaan mereka ketika ini.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu memerlukan tindakan nasional yang diselaraskan segera susulan gangguan AI yang semakin pantas di peringkat global.

Kebimbangan berkenaan disifatkan berasas memandangkan masih wujud jurang persediaan yang besar di peringkat korporat ketika ini. Data menunjukkan hanya 12 peratus organisasi mempunyai program kesediaan tenaga kerja AI yang berstruktur, sekali gus mendedahkan tenaga kerja tempatan kepada risiko keselamatan kerjaya.

Sehubungan itu, syarikat Transformasi Tenaga Kerja Digital tersenarai awam pertama di Malaysia berkenaan melancarkan gerakan kebangsaan I’M AI READY sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya.

Inisiatif berorientasikan masa depan itu menyasarkan untuk menyediakan lima juta rakyat Malaysia bagi menghadapi ekonomi AI menjelang 2028.

Pengasas dan Pengarah Urusan PEOPLElogy, Allen Lee, berkata ekonomi AI kini sedang membentuk semula industri, pekerjaan dan jangkaan tenaga kerja di seluruh dunia.

“Melalui gerakan ‘I AM AI READY’, kami berhasrat untuk memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam transformasi ini. Inisiatif ini bukan sekadar program latihan, ia merupakan gerakan kebangsaan yang direka untuk menghubungkan kesedaran, pembangunan keupayaan, pensijilan dan penyertaan industri,” katanya.

Beliau berkata, gerakan berkenaan distrukturkan bagi menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengelakkan keciciran akibat perubahan teknologi.

Katanya, kumpulan sasaran merangkumi pelajar, belia, profesional yang bekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, penjawat awam, kakitangan sektor awam, selain komuniti B40 dan golongan kurang mendapat perkhidmatan.

“Kami percaya kesediaan AI harus dapat diakses oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, industri atau latar belakang,” katanya.

Lee berkata, ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi digital yang lebih kukuh, kesediaan bakat akan menjadi antara kelebihan daya saing negara yang paling penting.

Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu dapat diukur dan dipantau, pelan hala tuju gerakan berkenaan akan dilaksanakan secara progresif menerusi tiga fasa dalam tempoh 36 bulan.

Usaha itu akan bermula dengan program perintis dan kempen kesedaran di seluruh negara, sebelum diperluaskan kepada pembangunan ekosistem, penilaian kesediaan AI, inisiatif pensijilan serta integrasi industri.

Bagi sasaran berperingkat, Fasa Satu disasarkan mencapai 50,000 bakat pada peringkat awal. Jumlah itu kemudian akan diperluaskan kepada 500,000 bakat dalam Fasa Dua sebelum mencapai matlamat akhir untuk mempersiapkan lima juta rakyat menjelang 2028.

Inisiatif berkenaan dibangunkan berasaskan Indeks Kesediaan AI Malaysia 2026–2030, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Blueprint MyDIGITAL.

PEOPLElogy optimis terhadap prospek transformasi tenaga kerja digital negara dan komited menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara sedia AI terkemuka di Asia Tenggara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *