Terengganu Singkir Putrajaya 43-26 Mara Ke Separuh Akhir

KUALA NERUS – Setelah beraksi cemerlang di peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah, Terengganu terus mengekalkan momentum kemenangan untuk melangkah ke penentuan kalah mati separuh akhir kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini setelah menewaskan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkeputusan 43-26 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Komplek Sukan Negeri Terengganu lewat petang kelmarin.

Beraksi dalam cuaca panas terik fenomena El Nino ketika ini tidak merencatkan perlawanan untuk tujuh mata penuh seawal minit ketiga setelah pemain import tuan rumah Josevata Cava Uluinaceva menyumbang lima mata melalui jatuhan try dan seterusnya kapten pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail melunaskan dua mata melalui tendangan conversion.

Taktikal berbeza berbanding perlawanan-perlawanan terdahulu menyaksikan Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih Hafiizh Zainal mendahului babak separuh masa perlawanan berkeputusan 26 berbalas 5.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat, Wilayah Persekutuan Putrajaya mula menguasai momentum permainan dengan beberapa tambahan mata, namun masih gagal untuk mendahului perlawanan.

Walaupun pada minit ke-70 memaksa pasukan tuan rumah beraksi kurang dua pemain setelah menerima kad kuning untuk berada di luar padang selama 10 minit, Wilayah Persekutuan Putrajaya masih gagal untuk memanfaatkan peluang itu bagi menambah mata, sekali gus mendahului perlawanan sepenuhnya.

Momentum pasukan tuan rumah kembali sepenuhnya setelah pemain gantian Muhammad Ikmal Hakim Zuraimi mengejutkan pasukan pelawat untuk jatuhan try mudah di hadapan lawan.

Sekali gus menjadi mata terakhir sehingga tamat perlawanan berkeputusan 43-26 untuk Terengganu melangkah ke penentuan separuh akhir, memperbaiki rekod pasukan setelah terkandas pada penentuan suku akhir pada musim lalu.

Seterusnya bagi aksi penentuan separuh akhir, Terengganu sekali lagi di laman sendiri untuk bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku juara bertahan bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *