Oleh: Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

SEJAK ditubuhkan 60 tahun yang lalu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) diberi tanggungjawab menyimpan pelbagai koleksi khazanah ilmu untuk kegunaan masyarakat.
Peranan ini selaras dengan misinya, iaitu memperkasa perkhidmatan perpustakaan dan maklumat berkualiti serta memelihara khazanah intelek negara bagi membentuk masyarakat berilmu, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perpustakaan Negara 1972 (Akta 80).
Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu
Salah satu koleksi yang menjadi tumpuan pihak PNM adalah koleksi manuskrip Melayu yang sangat bernilai. Atas kepentingan tersebut, maka Pusat Manuskrip Melayu telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1985.
Kira-kira 20 tahun kemudian, PNM telah memantapkan peranannya dengan menjenamakan semula sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM).
Penubuhannya hadir bersama tanggungjawab yang diamanahkan untuk memperoleh, menyimpan dan memelihara bahan manuskrip yang menjadi warisan negara.
Maklumat PNM meunjukkan, PKMM mempunyai 5405 naskhah manuskrip Melayu asal yang diperolehi secara pembelian atau sumbangan pelbagai pihak.
Koleksi PKMM tidak terhad kepada manuskrip asal sahaja, malah merangkumi mikrofilem, mikrofis, tesis dan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang berkaitan manuskrip Melayu.
Menurut PNM, koleksi terbesar adalah naskhah agama Islam iaitu 70 peratus sementara 30 peratus yang lain mengandungi bidang-bidang seperti kesusasteraan, sejarah, ilmu tradisional Melayu, ketatanegaraan, undang-undang, sains dan teknologi.
Manuskrip-manuskrip rumpun Melayu tersebut menggunakan tulisan tangan dalam Jawi yang dihasilkan sekitar akhir abad ke-16 dan awal abad ke-20 mengenai alam dan tamadun Melayu.
Dengan demikian, mencerminkan dan membuktikan mengenai budaya, pemikiran dan tamadun masyarakat Melayu Ketika itu.
Baru-baru ini penulis telah dijemput menyertai delegasi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) diketuai Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman melawat PNM, di Kuala Lumpur.
Kunjungan tersebut bertujuan menyerahkan kepada PNM beberapa naskhah buku terkini berjudul Jejak yang Mengilhamkan: Tokoh MUBARAK terbitan MUBARAK dengan kerjasama penulis-penulis dari Universiti Sains Islam Malaysia.
Salah satu pengisian lawatan tersebut ialah menyaksikan secara dekat koleksi manuskrip Melayu yang berusia ratusan tahun yang dipelihara dengan rapi di PKMM.
Diiktiraf UNESCO
Daripada koleksi lama tersebut, sebanyak lima naskhah yang menarik perhatian penulis dan delegasi kerana telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia di bawah Memory of the World Register oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), sekali gus mengangkat khazanah Melayu ke persada antarabangsa.
Naskhah yang dimaksudkan adalah Hikayat Hang Tuah, Asrar al-Ariffin, Misa Melayu, Cerita Panji, dan Sharabul al-Asyiqin.

Menurut PNM, Hikayat Hang Tuah merupakan antara karya agung yang telah membina pandangan dunia mengenai pemikiran orang Melayu menerusi sifat-sifat kepewiraan Hang Tuah dan kuasa pemerintah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Lantaran itu, telah mengangkat maruah, membina personaliti wira bangsa, memupuk nilai-nilai terpuji, mengukuhkan identiti dan imej bangsa Melayu.
Naskhah yang telah disalin pada tahun 1865 itu telah diiktiraf oleh UNESCO pada 20 Oktober 2001. Hikayat Hang Tuah dikatakan antara yang unik kerana mempunyai iluminasi berupa hiasan, lukisan atau gambar yang sarat dengan nilai estetika tempatan.
Insan bernama Hang Tuah menjadi epik Melayu yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di rantau Nusantara.
Malah, kepewiraan yang menonjol pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah meletakkan beliau sebagai tokoh yang gemilang dari segi perjalanan hidup dan pencapaiannya.
Pada 30 Oktober 2017, pihak UNESCO telah mengiktiraf manuskrip Cerita Panji, sebuah kisah menarik pada abad ke-13 yang menceritakan banyak pengembaraan Putera Panji, seorang pahlawan Jawa yang mencari Puteri Candra Kirana yang dikasihi.
Penceritaannya menonjolkan pelbagai penyamaran watak dengan nama yang berbeza, sebelum pasangan kekasih tersebut disatukan semula.
Cerita Panji menjadi sangat popular kerana disebarkan oleh pedagang laut, dan menjadi salah satu kesusasteraan paling popular di Asia Tenggara sekitar abad ke-17 hingga18.

Kira-kira enam tahun kemudian atau lebih tepat pada 24 Mei 2023, Misa Melayu pula mendapat pengiktirafan UNESCO. Manuskrip ini mengisahkan tentang sejarah dan peraturan-peraturan istiadat Kesultanan Perak.
Menurut PNM, manuskrip ini menggambarkan banyak peristiwa sejarah berkenaan masyarakat negeri itu pada abad ke-18 yang telah meninggalkan kesan mendalam terhadap seni, budaya serta pemikiran yang luar biasa dalam tradisi tamadun Melayu. Ia menjadi pelopor dalam tradisi kepengarangan manuskrip dalam bentuk prosa dan puisi.
Manuskrip Asrar al-Ariffin (Rahsia Orang-orang Arif) merupakan salah karya Hamzah Fansuri yang tersohor. Ia menyentuh mengenai rahsia-rahsia perjalanan dan pengalaman rohani ahli sufi yang penuh keajaban dan keinsafan selain menerangkan makrifat Allah SWT serta sifat dan asma-Nya.
Karya ini telah memperlihatkan kedalaman pemikiran dan kebolehannya mengaitkan pengalaman mistik dengan keindahan Bahasa Melayu.
Sementara itu, Sharabul al-Asyiqin yang bermaksud Minuman Segala Orang yang Berahi juga karya Hamzah Fansuri, iaitu seorang penyair tersohor yang dipercayai dilahirkan di Sumatera Utara pada abad ke-16.

Kitab ini secara umumnya membincangkan mengenai ilmu tasawuf, khususnya berkaitan asas-asas seorang ahli tasawuf dalam mencari tingkatan tertinggi ilmu tersebut.
Menurut PNM, kandungan manuskrip ini dibahagikan kepada tujuh bab, dan antara yang dihuraikan adalah mengenai syariat, tarekat, hakikat, makrifat, zat dan sifat-sifat Allah SWT.
Pada 17 April 2025, kedua-dua karya tersebut telah diisytiharkan oleh UNESCO sebagai dokumen Warisan Dunia di bawah Memory of the World Register.
Strategi pemeliharaan manuskrip
Dalam usaha memastikan pemeliharaan manuskrip Melayu, PNM melaksanakan beberapa strategi. Antara usaha dilakukan termasuk mengesan, memperoleh dan membina koleksi dalam bentuk asal, mikrofilem, salinan digital melalui pembelian dan sumbangan daripada pemilik naskhah.
Perpustakaan berkenaan turut menyediakan kemudahan rujukan dan penyelidikan manuskrip Melayu yang memudahkan para penyelidik dan masyarakat untuk capaian ke koleksi tersebut.
Selain itu, PNM yang diterajui Ketua Pengarah, Encik Edy Irwan bin Zulkafli, melaksanakan beberapa inisiatif melalui penyelidikan, penerbitan dan promosi untuk menyebarkan ilmu yang terkandung dalam manuskrip tersebut kepada masyarakat.

Kemudahan untuk pengunjung
Pihak PNM menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung seperti galeri pameran, ruang rujukan dan penyelidikan manuskrip, koleksi manuskrip Melayu asal, serta koleksi jurnal Filologi Melayu iaitu ilmu yang mengkaji manuskrip dan teks lama.
Penulis berpandangan PKMM ini amat sesuai kepada penyelidik atau peminat untuk meneroka, mengkaji dan mendapatkan bahan-bahan yang benar-benar asli berkaitan dunia Melayu dan Islam.
Secara keseluruhannya, peranan PNM melalui PKMM amat signifikan dalam memelihara dan memartabatkan khazanah intelektual bangsa. Pengiktirafan oleh UNESCO terhadap beberapa manuskrip Melayu membuktikan nilai universal dan sumbangan besar tamadun Melayu kepada dunia.
Justeru, usaha pemeliharaan, penyelidikan dan penyebaran ilmu manuskrip Melayu perlu terus diperkasa agar warisan ini kekal lestari dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang.
Masyarakat MADANI yang cintakan ilmu boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web di: www.pnm.gov.my atau menghubungi talian 03-2687 1700.
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L