Kekecohan di Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, Pembesar Adat Tidak Dibenar Masuk

TAMPIN – Suasana tenang di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini bertukar kecoh apabila beberapa pembesar adat dan jemputan kenamaan dilaporkan tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman berkenaan untuk menghadiri Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Insiden kira-kira jam 9.30 pagi itu mencetuskan ketegangan di pintu masuk utama apabila beberapa pembesar adat tiba untuk menghadiri sidang berkenaan dihalang daripada memasuki kawasan kediaman rasmi tersebut oleh pihak berkuasa yang mengawal lokasi.

Keadaan menjadi perhatian ramai apabila berlaku perbincangan dan pertikaman lidah antara beberapa pihak di hadapan pintu pagar utama susulan larangan berkenaan, sekali gus mengundang tanda tanya mengenai punca tindakan tersebut.

Antara pembesar adat yang dilihat berada di lokasi ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mad Rashad; Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Abd Rahim Yassin serta Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Turut kelihatan, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang dipercayai menghadiri sidang khas berkenaan.

Pada masa sama, pengamal media yang membuat liputan turut tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman rasmi itu, menyebabkan mereka hanya dapat menunggu dan memerhati perkembangan yang berlaku dari luar pagar.

Keadaan tegang berlangsung beberapa ketika itu bagaimanapun berjaya diredakan selepas Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri tampil ke pintu masuk utama bagi meninjau situasi berlaku.

Baginda kemudian mengarahkan pintu pagar dibuka dan membenarkan individu terlibat memasuki kawasan kediaman rasmi tersebut.

Selepas arahan itu dikeluarkan, pihak berkuasa memberi kebenaran kepada pembesar adat dan jemputan yang menunggu di luar masuk ke dalam kawasan balai bagi menghadiri sidang yang dijadualkan berlangsung.

Insiden berkenaan mengundang perhatian pelbagai pihak memandangkan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang merupakan antara institusi adat yang mempunyai peranan penting dalam sistem pemerintahan tradisional Negeri Sembilan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai punca sebenar pembesar adat berkenaan tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman rasmi itu pada peringkat awal.

Bagaimanapun, keadaan dilaporkan kembali terkawal selepas campur tangan Tunku Besar Tampin dan semua jemputan yang terlibat dibenarkan menghadiri sidang berkenaan seperti yang dirancang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *