Korbankan Dasar Pendidikan Demi Kekalkan Sokongan DAP – Muhyiddin

PETALING JAYA – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa keputusan kerajaan membuka laluan kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dibuat atas kepentingan politik sempit bagi memastikan sokongan DAP terus kekal dalam kerajaan perpaduan.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai keputusan tergesa-gesa yang bukan didorong kepentingan nasional, sebaliknya dipercayai bagi menjaga kelangsungan politik kerajaan sedia ada.

“Saya percaya keputusan ini mempunyai agenda politik tertentu, khususnya untuk memastikan DAP terus menyokong kerajaan hari ini.

“Dasar besar melibatkan masa depan pendidikan negara tidak boleh diputuskan semata-mata kerana mahu memuaskan hati parti politik tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin turut memberi amaran bahawa tindakan kerajaan melonggarkan laluan kepada pemegang UEC tanpa kajian menyeluruh boleh mengundang implikasi besar terhadap kedudukan bahasa Melayu, perpaduan nasional dan identiti negara.

Menurut beliau, isu melibatkan sistem pendidikan negara tidak sepatutnya dijadikan bahan tawar-menawar politik demi mempertahankan kuasa.

“Kerajaan perlu faham bahawa pendidikan ialah asas pembinaan negara bangsa. Jika dasar dibuat secara semberono kerana tekanan politik, kesannya akan ditanggung generasi akan datang,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang memiliki UEC serta pelajar institusi tahfiz akan diberi peluang mengikuti beberapa program tertentu di IPTA.

KPT memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada sistem pendidikan di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Bagaimanapun, Muhyiddin mempersoalkan rasional kerajaan memperkenalkan laluan tersebut sedangkan sehingga kini tiada pengiktirafan rasmi diberikan terhadap UEC.

Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, kerajaan seolah-olah cuba membuka pintu belakang kepada pengiktirafan UEC secara berperingkat tanpa melalui proses penilaian menyeluruh.

“Kalau benar UEC belum diiktiraf, mengapa kerajaan sudah mula membuka laluan khas ke IPTA? Ini menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju sebenar kerajaan,” katanya.

Muhyiddin turut menggesa kerajaan mengkaji semula dasar berkenaan bagi mengelakkan wujudnya dwi-standard dalam sistem kemasukan ke universiti awam.

Menurutnya, sehingga hari ini tiada badan kerajaan yang menjalankan audit menyeluruh terhadap sukatan pelajaran, sistem peperiksaan, kaedah pemarkahan serta jaminan kualiti akademik UEC.

“Keadaan ini akan mewujudkan dua standard berbeza dalam kemasukan pelajar ke IPTA, sedangkan semua pelajar Malaysia sepatutnya dinilai berdasarkan sistem yang selaras dan adil,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ketika menjadi Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, Kementerian Pendidikan pernah menjalankan penelitian terhadap cadangan pengiktirafan UEC.

Hasil kajian ketika itu, katanya, mendapati kandungan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Pada waktu itu saya mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan terlebih dahulu terhadap keseluruhan sistem pendidikan persendirian Cina termasuk struktur peperiksaan UEC sebelum sebarang pengiktirafan dipertimbangkan.

“Namun cadangan itu tidak dipersetujui dan akhirnya kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak mengiktiraf UEC,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan hari ini tidak boleh bertindak secara tergopoh-gapah hanya kerana mahu memenuhi tuntutan politik tertentu tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap sistem pendidikan negara.

Beliau menegaskan soal pendidikan dan identiti nasional bukan isu kecil yang boleh diputuskan semata-mata untuk menjaga kestabilan politik kerajaan campuran.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *