Oleh: Nawwar Hafidz Rahimi
SEREMBAN – Program kesihatan dan kecergasan terus menjadi antara inisiatif penting institusi pengajian tinggi dalam memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesejahteraan mahasiswa.
Selaras dengan usaha itu, Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban sekali lagi mencipta impak positif menerusi penganjuran Aerofits 5.0 yang berlangsung meriah di Marquee Tent, UiTM Kampus Seremban pada 12 Mei lalu.
Mengangkat tema “Rhythm Revolution”, program senaman ikonik itu berjaya menghimpunkan seramai 788 peserta melibatkan mahasiswa dan warga kampus dalam suasana penuh bertenaga dan ceria.

Program yang mendapat tajaan daripada Yakult, MYC dan Villa De Papan itu adalah kesinambungan kepada komitmen Kelab Prime Mover dalam membudayakan gaya hidup sihat, aktif dan seimbang di kalangan mahasiswa universiti.
Penganjuran Aerofits 5.0 dilihat bertepatan dengan cabaran kehidupan mahasiswa masa kini yang sering berdepan tekanan akademik, jadual pembelajaran padat dan tuntutan tugasan yang berterusan.
Justeru, program tersebut dirangka sebagai medium untuk membantu mahasiswa melepaskan tekanan melalui aktiviti fizikal interaktif sambil menggalakkan pengukuhan hubungan sosial dalam komuniti kampus.

Sepanjang program berlangsung, peserta bukan sahaja berpeluang menyertai sesi senamrobik secara berkumpulan, malah turut didedahkan kepada kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Aktiviti utama program ialah sesi aerobik selama dua jam yang dikendalikan sepenuhnya oleh Pasukan Aerodance Kelab Prime Mover UiTM.
Persembahan penuh bertenaga daripada pasukan tersebut berjaya membangkitkan semangat peserta untuk terus aktif dan menikmati gaya hidup sihat dalam suasana santai serta menyeronokkan.

Selain aktiviti kecergasan, Aerofits 5.0 turut memberi nilai tambah menerusi pelaksanaan pemeriksaan kesihatan percuma kepada peserta.
Pemeriksaan tersebut melibatkan analisis komposisi badan, pemeriksaan tekanan darah, ujian glukosa darah dan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI).
Inisiatif itu secara tidak langsung membantu mahasiswa meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemantauan kesihatan secara berkala serta memahami tahap kesihatan diri masing-masing.
Program berkenaan turut menjadi platform pembangunan sahsiah dan keyakinan diri mahasiswa serta penglibatan aktif peserta dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan memperlihatkan kesungguhan generasi muda untuk mengamalkan budaya hidup sihat, di samping membina semangat kerjasama dan perpaduan sesama rakan kampus.

Bagi menambahkan kemeriahan acara, sesi cabutan bertuah dan penyampaian hadiah turut diadakan dengan pelbagai produk tajaan daripada Yakult, MYC dan Villa De Papan.
Kehadiran elemen santai dan hiburan itu berjaya mewujudkan suasana kampus yang lebih harmoni dan positif, selain memberi pengalaman bermakna kepada peserta.
Menurut Pengarah Program, Nur Farhana Natasya Md. Jamil, Aerofits 5.0 telah menjadi platform terbaik untuk mahasiswa meluangkan masa bersama rakan di luar dewan kuliah sambil membina jaringan sosial yang lebih sihat dan produktif.
Katanya, penglibatan aktif mahasiswa dalam program seumpama itu bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah membantu membina keyakinan diri serta menyemarakkan suasana kampus yang lebih dinamik dan progresif.
“Program ini membawa mesej bahawa kecergasan fizikal mempunyai kaitan rapat dengan kecemerlangan akademik. Prinsip ‘Badan Cergas, Otak Cerdas’ yang diterapkan sepanjang program menjadi penggerak utama kepada usaha kami dalam melahirkan mahasiswa yang aktif, sihat dan seimbang,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program, Khairolizwan Harry menyifatkan penganjuran Aerofits 5.0 sebagai selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki tahap kesejahteraan fizikal dan mental yang baik.
Beliau berkata, program itu membuktikan aktiviti kokurikulum dan kesihatan memainkan peranan penting dalam membentuk gaya hidup mahasiswa yang lebih positif serta berdaya tahan.
“Aerofits 5.0 bukan sahaja berjaya meningkatkan tahap kecergasan peserta, tetapi turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk lebih peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan pemantauan kesihatan secara berkala,” ujarnya.
Penganjuran Aerofits 5.0 sekali lagi membuktikan komitmen UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban dalam memperkasa kesejahteraan mahasiswa melalui pendekatan pendidikan holistik.
Program seumpama itu diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki gaya hidup sihat, aktif dan seimbang sejajar dengan aspirasi universiti serta negara.
Nawwar Hafidz Rahimi adalah EXCO Penerbitan Artikel dan Media Massa, Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L