Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin
PUTRAJAYA – Malaysia dan Vietnam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan agro makanan sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan negara menghadapi cabaran bekalan makanan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama itu dicapai hasil lawatan kerja rasmi beliau ke Hanoi, Vietnam baru-baru ini dan telah dikongsikan kepada Jemaah Menteri hari ini.
“Malaysia turut berusaha memperluaskan akses pasaran produk tempatan ke Vietnam termasuk produk berasaskan ayam, telur cecair dipasteur, produk itik, sarang burung walit dan makanan haiwan peliharaan,” katanya.
Selain itu, kerjasama dalam sektor akuakultur dan perikanan mampan turut diberi perhatian bagi membolehkan Malaysia dan Vietnam menjadi peneraju industri perikanan lestari di rantau ASEAN.
Beliau berkata, dunia kini berdepan cabaran besar melibatkan bekalan makanan, perubahan iklim serta ketidaktentuan ekonomi global, justeru kerjasama strategik seperti itu amat penting bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan terjamin.
Dalam perkembangan sama, delegasi Vietnam turut dijemput menghadiri MAHA 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L