Pangkalan rahsia tentera Israel di Iraq cetus kebimbangan perluasan perang serantau

BAITULMAQDIS – Dakwaan Israel membina sebuah pangkalan tentera rahsia di wilayah padang pasir Iraq bagi menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran mencetuskan kebimbangan baharu mengenai kemungkinan perluasan konflik dan pelanggaran kedaulatan negara di rantau Asia Barat.

Menurut laporan diterbitkan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik beberapa sumber termasuk pegawai Amerika Syarikat, pangkalan sulit itu didakwa digunakan sebagai pusat operasi logistik dan sokongan udara bagi tentera Israel.

Laporan itu menyebut kemudahan berkenaan turut menempatkan pasukan khas selain dilengkapi unit mencari dan menyelamat untuk membantu juruterbang Israel sekiranya pesawat mereka ditembak jatuh ketika operasi ketenteraan.

Menurut sumber dipetik, pembinaan pangkalan tersebut dikatakan dilakukan dengan pengetahuan pihak Amerika Syarikat sebelum tercetusnya konflik terbuka antara Israel dan Iran.

Dakwaan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penglibatan kuasa luar dalam operasi ketenteraan di Iraq tanpa pengetahuan penuh kerajaan negara berkenaan, selain kemungkinan pencabulan terhadap kedaulatan wilayah Iraq.

Situasi dilaporkan menjadi semakin tegang apabila kewujudan pangkalan itu hampir terbongkar pada awal Mac selepas seorang penggembala tempatan mendakwa melihat aktiviti ketenteraan mencurigakan termasuk pergerakan helikopter di kawasan terpencil itu.

Susulan laporan berkenaan, tentera Iraq dikatakan dihantar ke lokasi berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, menurut laporan sama, operasi siasatan itu didakwa diganggu oleh serangan udara Israel yang dipercayai bertujuan menghalang lokasi pangkalan sulit tersebut daripada dikesan pihak berkuasa Iraq.

Dalam perkembangan berkaitan, Iraq pada akhir Mac dilaporkan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung serangan udara yang didakwa dilakukan oleh kuasa asing di wilayah negara itu.

Pada peringkat awal, Baghdad dikatakan mengaitkan serangan tersebut dengan Amerika Syarikat sebelum muncul laporan media antarabangsa yang mendakwa penglibatan Israel dalam operasi berkenaan.

Penganalisis politik serantau melihat dakwaan pembinaan pangkalan tentera rahsia itu sebagai petunjuk baharu terhadap peningkatan operasi ketenteraan rentas sempadan yang berpotensi mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik Asia Barat.

Mereka turut memberi amaran penggunaan wilayah negara ketiga sebagai pangkalan operasi ketenteraan boleh meningkatkan risiko ketidakstabilan serantau, selain mencetuskan ketegangan diplomatik yang lebih besar.

Setakat ini, dakwaan berhubung kewujudan pangkalan rahsia itu belum dapat disahkan secara bebas oleh mana-mana pihak berkecuali, manakala pihak Israel, Iraq dan Amerika Syarikat belum mengeluarkan kenyataan rasmi terperinci mengenai laporan itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *