MEXICO CITY – Seorang wartawan yang membuat liputan Piala Dunia terpaksa menghentikan siaran langsungnya selepas pergaduhan tercetus hanya beberapa meter di belakangnya sebaik tamat aksi pembukaan Mexico menentang Afrika Selatan.
Carlos Hernandez dari Fox Sports Mexico sedang membuat analisis pasca perlawanan di luar Stadium Azteca selepas kemenangan 2-0 Mexico ke atas Afrika Selatan apabila keadaan tiba-tiba bertukar menjadi kecoh.
Ketika Hernandez meneruskan laporannya di hadapan kamera, dua lelaki dilihat bertumbuk berhampiran lokasi siaran sebelum beberapa individu lain, termasuk seorang penyokong yang memakai jersi Mexico, dipercayai turut terbabit dalam insiden itu.
Penerbit siaran bertindak pantas memutuskan siaran langsung dan kembali ke studio sejurus pergaduhan semakin tegang apabila tumbukan mula dilepaskan.
Insiden itu mengejutkan pengacara di studio yang sedang mengikuti laporan berkenaan secara langsung.
Bagaimanapun, Hernandez tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian kembali bersiaran untuk menjelaskan punca kejadian.
Menurutnya, pertelingkahan itu dipercayai bermula akibat rasa tidak puas hati beberapa penyokong terhadap caj pengangkutan yang dikenakan selepas perlawanan.
Difahamkan, sekumpulan penyokong yang ingin bergerak dari Stadium Azteca ke Plaza Gran Sur, kira-kira tiga kilometer dari stadium, berang selepas diminta membayar 400 peso Mexico (RM94) seorang bagi perjalanan berkenaan.
“Semuanya baik-baik sahaja. Situasinya agak tegang.
“Kekeliruan bermula apabila mereka mengenakan caj 400 peso seorang untuk menghantar penumpang ke destinasi itu. Dari situlah pergaduhan ini tercetus,” katanya.
Kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan menyaksikan Mexico memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan dalam perlawanan yang turut menyaksikan tiga pemain dilayangkan kad merah. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L