TANAH MERAH – Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang selepas mendapat persetujuan parti-parti dalam blok pembangkang untuk meneruskan kepimpinan sedia ada di Parlimen.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan suara ahli-ahli Parlimen dalam gabungan pembangkang, bukan hanya daripada PAS semata-mata.
Menurut beliau, PAS bersama Gerakan Reset berpandangan pelantikan semula Hamzah mampu memastikan kesinambungan kepimpinan pembangkang serta mengekalkan kestabilan kerjasama antara parti-parti yang berada dalam blok berkenaan.
“Kita mendapat pandangan daripada ahli-ahli Parlimen, bukan PAS sahaja. Maka PAS membuat keputusan untuk bersetuju meneruskan Datuk Seri Hamzah sebagai Ketua Pembangkang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni, Tanah Merah, pada Sabtu.
Iklan

Dalam pengumuman yang sama, Abdul Hadi menegaskan Ahmad Samsuri Mokhtar akan terus kekal memegang jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus menafikan sebarang perubahan terhadap kedudukannya dalam struktur kepimpinan gabungan tersebut.
Samsuri yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu mengambil alih jawatan Pengerusi PN pada Februari lalu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Hamzah dalam satu rombakan kepimpinan blok pembangkang yang diumumkan bulan lalu.
Namun, selepas tempoh kira-kira sebulan, kepimpinan pembangkang memutuskan untuk mengembalikan semula peranan tersebut kepada Hamzah.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Hamzah kembali mengetuai barisan pembangkang di Dewan Rakyat, manakala Samsuri terus memainkan peranan utama sebagai Pengerusi PN dalam mengemudi hala tuju gabungan berkenaan menjelang cabaran politik dan pilihan raya akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L