Kes harta pusaka taikun Genting: Pemegang amanah tidak tahu nilai Yayasan Dikim lebih RM1 bilion

KUALA LUMPUR – Peguam yang mendraf dua wasiat pada 2022 bagi harta pusaka mendiang Lim Siew Kim, anak perempuan taikun Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mengetahui nilai Yayasan Dikim, yang dinamakan sebagai benefisiari utama, bernilai lebih RM1 bilion.

Low Beng Choo, 68, satu-satunya pemegang amanah yayasan itu yang masih tinggal, berkata beliau menyediakan wasiat terakhir bertarikh 28 April 2022 tanpa pengetahuan penuh mengenai aset mendiang.

Low, yang mengenali mendiang lebih 20 tahun melalui kerjayanya sebagai peguam, berkata beliau telah mendraf dan menjadi saksi kepada wasiat Siew Kim bertarikh 11 April dan 28 April 2022 selain turut bertindak sebagai saksi bagi wasiat terdahulu bertarikh 2 Nov 2021.

Defendan keempat itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Datuk V. Sithambaram, mewakili dua anak perempuan mendiang iaitu Chan T’Shiao Li dan Kimberly Chan T’Shiao Miin, yang mencabar keupayaan ibu mereka untuk melaksanakan wasiat tersebut selain mendakwa terdapat keadaan mencurigakan berkaitan penyediaan dokumen berkenaan.

Kedua-dua beradik itu menamakan empat individu termasuk Low dan abang mereka, Marcus Chan Jau Chwen, sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 2023.

Kepada soalan Sithambaram bahawa Yayasan Dikim, yang dinamakan dalam wasiat ketiga, berhak ke atas kira-kira 70 peratus daripada harta pusaka didakwa bernilai lebih RM1 bilion itu, Low menjawab: “Saya tidak tahu.”

Beliau turut mengesahkan bahawa hubungannya dengan Siew Kim adalah profesional, dan menyifatkan ia sebagai hubungan antara seorang peguam dengan pelanggan.

Low juga mengesahkan bahawa beliau telah memusnahkan wasiat kedua.

Sithambaram kemudian mencadangkan bahawa wasiat ketiga, berbeza dengan yang pertama, tidak mengandungi nama pemegang amanah Dikim, dan Low bersetuju dengan perkara itu.

Low juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa berdasarkan wasiat ketiga, seseorang tidak dapat mengenal pasti pemegang amanah Dikim selain fakta bahawa 70 peratus baki harta pusaka mendiang diperuntukkan kepada yayasan berkenaan.

Sementara itu, dalam pernyataan saksi, Low menyebut bahawa sebelum mendiang menandatangani wasiat pada April 2022, beliau telah meletakkan dokumen berkenaan di hadapannya.

“Saya kemudian membacakan kandungan wasiat April 2022 itu kepadanya… ketika saya membaca wasiat itu, mendiang turut mengikuti bacaan saya dan membaca wasiat tersebut sendiri.

“Bagi mengelakkan kekeliruan dan berdasarkan arahan mendiang, saya telah memusnahkan wasiat asal tahun 2021 bersama salinannya,” kata beliau yang memaklumkan hanya mengambil peranan sebagai pemegang amanah Dikim bermula 2 Jun 2022.

Low juga berkata selepas pelaksanaan wasiat terakhir Siew Kim dan sekitar Mei 2022, atas permintaan mendiang yang berulang kali, beliau akhirnya bersetuju dilantik sebagai pemegang amanah Dikim.

“Saya telah menyediakan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan, antara lain bagi memperoleh kelulusan pihak berkuasa berkaitan untuk dilantik sebagai pemegang amanah,” katanya.

Siew Kim, yang juga anak ketiga pengasas Kumpulan Genting, meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022.

Wanita berusia 73 tahun itu meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib bersambung esok. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *